Lubnan sahkan kes pertama Covid-19

Pasukan perubatan memeriksa penumpang yang tiba dari Iran di lapangan terbang di Najaf, Iraq. (Gambar AP)

BEIRUT: Lubnan mengesahkan kes Covid-19 pertama pada Jumaat dan berkata ia sedang memantau 2 lagi kes berpotensi selepas seorang wanita berusia 45 tahun yang tiba dari Iran pada Khamis diuji positif virus itu, kata Menteri Kesihatan Hamad Hassan.

Menerusi sidang media, Hassan berkata pesakit itu diambil terus dari tempat pengasingan dari pesawat yang tiba dari bandar Qom Iran pada Khamis selepas menunjukkan simptom virus tersebut.

Pesakit dikuarantin di Hospital Universiti Rafik Hariri di Beirut dan 2 individu lain dari penerbangan Qom yang disyaki membawa virus itu akan dipindahkan ke hospital untuk kuarantin, kata Hassan.

Pesawat Mahan Air yang tiba sekitar jam 7.30 malam Khamis membawa 125 penumpang, kata sumber di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic.

Setakat ini, wabak Covid-19 menyaksikan 4 orang maut di Iran, bermula di bandar suci Syiah di Qom, kata pihak berkuasa Iran.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan Iran berkata sumber yang mungkin adalah pekerja China di Qom yang mengembara ke China, baru-baru ini.

Hassan berkata semua langkah berjaga-jaga yang diperlukan selaras dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia diikuti dan pihaknya menyediakan talian hotline untuk dihubungi jika orang ramai mengalami apa-apa gejala yang berkaitan.

“Tidak perlu panik berlebihan pada masa ini… pesakit berada dalam keadaan yang baik,” kata Hassan.

Beliau berkata mereka yang tiba di Lubnan dengan penerbangan Qom diminta kekal mengasingkan diri di rumah selama 14 hari dan pihak berkuasa akan memantau ketibaan pelawat ke Lubnan sejak 10 hari lalu untuk kes-kes yang berpotensi.