MB Selangor diselar berhubung cadangan mansuh hutan simpan

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari diselar kerana mempertahankan cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Aktivis alam sekitar Shariffa Sabrina Syed Akil berkata cubaannya untuk menerangkan langkah itu gagal dan ahli antropologi Alberto Gomes dari Universiti La Trobe Australia berkata Amirudin tidak mempedulikan apa makna hutan kepada Orang Asli.

Amiruddin baru-baru ini berkata Jabatan Perhutanan Selangor mencadangkan pemansuhan itu kerana 40% kawasan berkenaan sudah menjadi hutan rosot dan mahu mengelak kebakaran hutan.

Beliau menolak dakwaan bahawa penyahgazetan itu akan menjejaskan penempatan Orang Asli, mengatakan negeri itu telah memindahkan mereka dari rizab hutan.

Bagaimanapun, beliau juga berkata cadangan itu belum dimuktamadkan dan masih dalam cadangan.

Shariffa Sabrina Syed Akil.

Shariffa Sabrina, yang mengetuai NGO alam sekitar, Peka Malaysia, memberitahu FMT beliau tidak merasakan pemansuhan rizab itu hanya kerana 40% daripadanya tidak lagi hutan dara. Perkara yang tepat yang perlu dilakukan, katanya, adalah menanam lebih banyak pokok di sana.

“Kenapa kita tidak boleh memelihara paru-paru hijau ini, menjadikannya lebih subur dan kekalkannya untuk generasi akan datang?”

Beliau mengaitkan langkah itu kepada kepentingan ekonomi dan ketamakan, mengatakan Selangor sudah maju dengan jayanya.

“Berapa banyak lagi pembangunan yang kita perlukan?

“Hutan Selangor semakin mengecil dan rizab hutan terakhir adalah di Kuala Langat.

“Seluruh dunia bercakap mengenai perubahan iklim dan di sini kita terus memusnahkan paru-paru hijau kita. Kenapa pemimpin kita tidak boleh dipercayai lagi? Adakah mereka hanya berminat mewujudkan lebih banyak projek dan pembangunan supaya mereka boleh menjana wang dengan cepat?”

Sementara itu, Gomes menyamakan hubungan Orang Asli dengan hutan seperti ikatan antara ibu dan anak-anak memandangkan hutan adalah sumber rezeki mereka.

Alberto Gomes dari Universiti La Trobe Australia.

“Oleh itu, kepada Orang Asli, penebangan hutan adalah sama seperti membunuh ibu bapa,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil perhatian terhadap kebimbangan Orang Asli, mengatakan perjuangan mereka untuk menjaga hutan adalah untuk faedah manusia.

“Pada masa ditimpa bencana iklim, kita harus berpegang teguh kepada sentimen Orang Asli dalam mempertahankan hutan, yang memainkan peranan penting dalam penyerapan karbon.

“Saya berharap pihak berkuasa akan mendengar kebimbangan Orang Asli dan tidak tertarik dengan prospek keuntungan ekonomi jangka pendek dengan mengorbankan manfaat ekologi jangka panjang,” katanya.