Najib, Rosmah selesai pemeriksaan fizikal barangan disita di Bank Negara

Pada 3 Feb, mahkamah memerintahkan pendakwa raya membenarkan Najib, Rosmah dan Nooryana memeriksa barang berkenaan secara fizikal.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak, isteri Rosmah Mansor dan anak mereka Nooryana Najwa selesai melakukan pemeriksaan secara fizikal ke atas barang yang didakwa mempunyai kaitan dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Timbalan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urusetia Ketua Polis Negara Bukit Aman, Amran Yaacob berkata, pasangan itu bersama anaknya melakukan pemeriksaan berkenaan lebih 3 jam sejak tiba di BNM pada jam 9.15 pagi.

“Mereka ditemani peguam masing-masing dan proses itu berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi di sini.

Amran berkata, pihaknya akan menentukan sama ada satu pemeriksaan semula dilakukan selepas ini.

Pada 3 Feb, dilaporkan hakim Mohamed Zaini memerintahkan pendakwa raya membenarkan Najib, Rosmah dan Nooryana memeriksa barang berkenaan secara fizikal.

Antara syarat ditetapkan pemeriksaan itu mesti dilakukan di premis yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan dan hanya dilakukan sekali dalam tempoh 2 minggu dari tarikh perintah dikeluarkan.