NGO mahu PH bubar Parlimen jika gagal tunai 10 tuntutan dalam 100 hari

Di Dataran Merdeka hari ini, sebuah NGO, Gabungan Kuasa Rakyat, antara lain menggesa perdana menteri membubarkan Parlimen sekiranya gagal memulihkan ekonomi dan keharmonian negara.

KUALA LUMPUR: Lebih 300 penyokong anti kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkumpul di Dataran Merdeka hari ini mendesak Putrajaya menunaikan 10 tuntutan yang dipercayai dapat mengembalikan maruah negara dalam 100 hari.

Jurucakap Gabungan Kuasa Rakyat, Nazrin Norani, 37 berkata, sekiranya tuntutan berkenaan tidak dilaksanakan dalam 100 hari, maka kumpulan berkenaan akan mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya membubarkan Parlimen.

“Sekiranya mereka tunaikan, negara akan menjadi lebih baik, tetapi kalau mereka tidak tunaikan, maka lebih baik pulangkan balik mandat kepada rakyat.

“Biar kita pilih semula kerajaan baru, yang benar-benar pedulikan rakyat,” katanya sewaktu ditemui pemberita di sini, hari ini.

Antara 10 tuntutan kumpulan berkenaan ialah mendesak PH bertanggungjawab ke atas kegagalannya mentadbir negara, termasuk menggesa Mahathir dan seluruh anggota Kabinet meletakkan jawatan.

Peserta himpunan mendesak Putrajaya pimpinan membantu peneroka Felda yang ketika ini menghadapi tekanan akibat kenaikkan kos sara hidup.

Ia juga mendesak Putrajaya menangani krisis ekonomi dan kewangan negara, menyelesaikan polemik antara agama dan kaum yang dilihat semakin meruncing serta menyelesaikan kos sara hidup yang tinggi di bawah pentadbiran PH.

Nazrin berkata, beliau secara peribadi muak apabila kancah politik negara hanya diisi individu sama, khususnya melibatkan Mahathir dan presiden PKR Anwar Ibrahim.

Baginya, muka baru perlu diperkenalkan.

“Sebenarnya di Malaysia ini, kita tidak ketandusan pemimpin, kita ramai pemimpin. Asyik muka pemimpin yang sama, dari saya sekolah menengah, hingga kini anak saya berada di sekolah menengah, masih muka mereka berdua.

Peserta himpunan Gabungan Kuasa Rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menurut mereka asyik bertelagah sesama sendiri.

“Kita hendak lihat pemimpin baru, pemimpin lama yang sudah terbukti buat kerja untuk rakyat tidak mengapa. Ini tidak, daripada kerajaan sekarang, masih kita nampak muka yang sama,” katanya.

Ketika ditanya, mengenai isu peralihan kuasa perdana menteri kepada Anwar, Nazrin berkata beliau mengaku tidak kisah dengan perkara berkenaan asalkan ekonomi dan keharmonian negara kembali stabil.

“Kita tidak kisah siapa akan jadi kerajaan biarpun daripada kerajaan sekarang atau pembangkang.. Kami mewakili kuasa rakyat akan terus suarakan masalah dihadapi rakyat,” katanya.