Penyelaras Parlimen PH untuk ‘beli undi’, kata pemimpin Sarawak

Naib presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah (kiri) membidas Baru Bian kerana melantik penyelaras Parlimen di kerusi dikuasai pembangkang.

KUCHING: Seorang pemimpin Sarawak mengkritik langkah Pakatan Harapan (PH) melantik penyelaras Parlimen di negeri itu dengan berkata, ia adalah percubaan gabungan politik itu untuk membeli undi bagi pilihan raya negeri akan datang.

Semalam, Baru Bian, yang merupakan pengerusi majlis tindakan pembangunan negeri bagi kerajaan persekutuan melantik 19 penyelaras Parlimen mewakili kerajaan PH di kawasan Parlimen yang dikuasai pembangkang.

Beliau berkata, peranan penyelaras tersebut adalah bagi memastikan program dan projek di bawah rancangan pembangunan 5 tahun kerajaan persekutuan berjalan lancar.

Mereka juga bertanggungjawab memperkukuh hubungan kerajaan persekutuan dengan rakyat, terutama sekali kerana negeri itu diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Naib presiden PBB dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelantikan penyelaras Parlimen itu menyerupai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang diwujudkan oleh kerajaan PH di Sarawak.

Adun Asajaya itu berkata, pelantikan penyelaras dan ahli majlis itu diselindungkan sebagai langkah untuk menyampaikan maklumat kepada orang awam sedangkan ia sebenarnya bertujuan untuk “menyalurkan dana awam bagi membeli undi di peringkat akar umbi”.

“Saya tidak pasti apakah yang berada di fikiran Baru Bian dan kerajaan PH ketika mereka melantik penyelaras Parlimen untuk memantau projek di negeri ini.

“Bagaimanapun berdasarkan nama dan personaliti individu yang dilantik, saya hanya boleh beritahu bahawa ia adalah jalan pintu belakang kerajaan PH untuk mewajarkan penyaluran dana awam kepada kroni mereka yang dirancang untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya kepada FMT.

Menyifatkan langkah itu “memalukan” dan “tidak bertanggungjawab”, Karim berkata, beliau berharap rakyat akan menyedari “niat buruk PH untuk memecah-belahkan masyarakat dan mengambil alih kerajaan negeri”.

Dalam pada itu, ahli jawatankuasa PKR bahagian Batang Sadong berkata, mereka menolak pelantikan Jamilah Baharuddin sebagai penyelaras Parlimen di kawasan itu.