Polis siasat ugutan bunuh terhadap Mujahid

Pengerusi GMPN Razali Zakaria menunjukkan laporan polis yang dibuat pihaknya di Balai Polis Dang Wangi pagi tadi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung ugutan yang dibuat di media sosial terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Naazron Abdul Yusof yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan sebuah NGO berhubung perkara itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan berita palsu.

Terdahulu Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) membuat laporan polis terhadap 5 individu yang memuat naik komen berunsur fitnah, ugutan dan ancaman bunuh terhadap Mujahid.

Presiden GMPN Razali Zakaria berkata antara individu yang dinamakan dalam laporan polis itu menggunakan nama Muhammad Naim, dan memuat naik ayat berbaur ugutan bunuh berbunyi “Mujahid ini patut dibunuh memang manusia terbangsat di dunia”, di akaun Facebooknya baru-baru ini.

Turut dinamakan dalam laporan itui ndividu bernama Mohd Elham, Asfanizam Bin Abdullah, Hanif Junit dan Abu Rafiq.

“Mereka memuat naik status dan komen yang berunsur mengancam keselamatan dan menghasut orang lain bertindak melakukan perbuatan yang sama di laman sosial masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pagi tadi.

Beliau berkata pautan kepada laman media sosial itu juga diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.