Portal berita salah petik Mat Sabu sebagai pemimpin Amanah mahu Dr M berundur

Pemimpin PH berkumpul malam tadi selepas sebulat suara bersetuju Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai PM.

KUALA LUMPUR: Kesilapan identiti oleh portal berita mungkin menjadi penyebab Presiden Amanah Mohamad Sabu dinamakan sebagai salah seorang daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang bersuara dalam menggesa Dr Mahathir Mohamad menetapkan tarikh peralihan kuasa.

Malaysiakini, memetik sumber yang tidak dinamakan, melaporkan Mohamad atau Mat Sabu, yang juga menteri pertahanan, memperkecilkan ancaman PPBM untuk keluar dari gabungan itu jika Amanah dan DAP terus mendesak Mahathir supaya menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

“Mat Sabu dengan tegas jawab, kami tak ada masalah, puluh tahun dah kami jadi pembangkang dan disambut dan disokong padu wakil DAP,” tulis portal itu.

Dakwaan itu ditolak Mat Sabu di mana Setiausaha Politiknya, Azhar Mat Dali menyifatkan ia sebagai spekulasi semata-mata.

“Ingin ditegaskan pihak YB Mohamad Sabu adalah tiada kaitan sama-sekali dengan cerita-cerita dan spekulasi yang disebarkan tersebut,” katanya.

Ditanya lebih lanjut, Azhar enggan mengulas apa yang sebenarnya terjadi dalam pertemuan selama 2 jam yang dipengerusikan oleh Mahathir dan dihadiri semua pemimpin utama PH.

Sumber yang dipercayai mengesahkan penafian Azhar, mengatakan portal itu “benar-benar salah berhubung identiti mereka yang bersuara dalam menggesa Mahathir menghadkan penggalnya”.

“Hanya 2 orang bersuara di sana (menggesa Mahathir letak jawatan) iaitu pemimpin Amanah 3 penggal dari Lembah Klang, dan 1 lagi dari DAP yang merupakan menteri,” kata sumber kepada FMT.

Di Twitter, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari Amanah berkata keputusan PH malam tadi adalah kegagalan Umno dan PAS untuk memecahbelahkan pakatan itu.

Namun blogger politik Firdaus Abdullah, di mana Twitternya diikuti pejabat media perdana menteri menggambarkan menteri wilayah persekutuan itu adalah pemimpin Amanah yang meminta Mahathir berundur.

“Ha ha ha ha .. kita tahu apa yang kamu cuba lakukan malam tadi. Percubaan yang bagus,” tweet Firdaus kepada komen Khalid terhadap Anwar kerana mengetepikan desakan penyokongnya yang menuntut tarikh peralihan kuasa daripada Mahathir.

Mahathir semalam mengumumkan pemimpin PH sebulat suara bersetuju beliau kekal sebagai perdana menteri.

“Tiada tarikh – hanya selepas Apec. Terpulang pada saya sama ada saya nak lepas atau pun tak lepas. Itulah kepercayaan yang ditunjukkan parti kepada saya,” kata Mahathir malam tadi, merujuk sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Kuala Lumpur pada November ini.

Mahathir, yang kembali memegang jawatan perdana menteri susulan kemenangan PH pada pilihan raya umum 2018 berulang kali berkata beliau akan menyerahkan tampuk pemerintahan pada Anwar seperti yang dipersetujui oleh komponen PH.