Singapura catat 3 kes baru jangkitan Covid-19, jadikan jumlah 89 kes

Kementerian Kesihatan Singapura berkata, kesemua warganya yang dibawa pulang dari Wuhan disaring untuk Covid-19 sebagai langkah tambahan. (Gambar Bernama)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan 3 lagi kes jangkitan Covid-19 disahkan di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 89 kes.

Satu daripada kes yang disahkan hari ini melibatkan seorang warga Singapura berusia 32 tahun yang merupakan kumpulan mereka yang dibawa pulang dari Wuhan pada 9 Feb.

MOH dalam satu kenyataan menyatakan, ketika menaiki pesawat lelaki itu tidak menunjukkan sebarang simptom dan telah diletakkan dalam kuarantin sebaik tiba di Singapura.

Lelaki itu kini ditempatkan di bilik isolasi di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID), katanya.

MOH menyatakan, kesemua warga Singapura yang dibawa pulang dari Wuhan disaring untuk Covid-19 sebagai langkah tambahan.

Kementerian itu menyatakan yang lelaki itu disahkan dijangkiti Covid-19 pada tengah hari semalam dan beliau berkaitan dengan warganegara Singapura berusia setahun yang juga dibawa pulang dari Wuhan pada hari yang sama.

Bayi itu disahkan dijangkiti Covid-19 pada 16 Feb.

Sehingga kini sejumlah 49 kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah sementara 40 lagi kes yang disahkan masih di hospital dengan kebanyakan mereka berada di dalam keadaan stabil, manakala 5 lagi yang kritikal ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sehingga tengah hari ini, MOH berkata mereka mengenal pasti 2,734 kontak rapat yang dikuarantin, yang mana 1,101 masih lagi dikuarantin dan 1,633 lagi telah melengkapkan tempoh kuarantin mereka, katanya.