Tiada sebab Christina Liew perlu ambil cuti, kata pemimpin PKR Sabah

Pemimpin pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan percaya timbalan ketua menteri Christina Liew perlu mengambil cuti daripada tugas rasminya berikutan saman yang difailkan terhadap beliau.

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin PKR Sabah mempertahankan pengerusi negeri parti itu Christina Liew berhubung gesaan supaya beliau bercuti kerana berdepan saman terhadap dirinya.

Pengerusi biro disiplin PKR Sabah Sazalye Donol, yang juga merupakan ketua PKR bahagian Kota Marudu, membidas presiden Parti Solidariti Tanah airku Jeffrey Kitingan kerana tidak dapat membezakan antara kes sivil dengan kes jenayah.

Sazalye yang juga peguam berkata, dalam saman tersebut, yang berkaitan dakwaan pengambilalihan tanah, Mahkamah Tinggi pada 2014 memutuskan bahawa Christina dan 2 yang lain perlu membayar pampasan sebanyak RM577 juta.

“Itu kes sivil, bukan jenayah. Kes sivil tertakluk kepada kebangkrapan apabila ia diselesaikan, tetapi kes ini belum berakhir,” katanya.

“Jika kes jenayah, menteri memang perlu mengambil cuti. Kes Christina tiada kaitan dengan kes jenayah,” katanya.

Beliau berkata, kes yang dihadapi Christina itu mengambil masa lama untuk diselesaikan di mahkamah.

Semalam Jeffrey berkata, Christina, yang merupakan timbalan ketua menteri harus mengambil cuti daripada tugas rasminya serta-merta berikutan kes yang dihadapinya.

Beliau berkata, Christina yang juga peguam, harus menghormati keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Pada Isnin, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Christina untuk memasukkan keterangan baru dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau dan 2 yang lain membayar pampasan berjumlah RM577 juta.

Jeffrey yang merupakan ahli Parlimen Keningau berkata, “jumlah liabiliti yang begitu besar di atas bahunya secara automatik membatalkan kelayakan beliau sebagai Adun.”

Mahkamah Tinggi Tawau pada 30 Sept 2014 memutuskan bahawa Christina dan 2 yang lain secara tidak sah mendorong sekumpulan pekebun kecil supaya melanggar perjanjian usaha sama mereka dengan Borneo Samudera, sebuah anak syarikat kerajaan negeri, Sawit Kinabalu.

Dua individu lain yang terbabit ialah Samsuri Baharuddin, peguam bagi kumpulan 819 pekebun kecil di skim pekebun kecil Bagahak, dan Siti Rahfizah Mihaldin, bekas kerani Christina.