Dr M dijangka hadap Agong maklum perubahan kerajaan

Kenderaan dilihat memasuki Istana Negara di Kuala Lumpur susulan jangkaan bahawa Dr Mahathir Mohamad akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad dijangka tiba di istana Negara petang ini untuk menghadap Agong dan memaklumkan tentang perubahan dalam kerajaan gabungan pimpinan beliau.

Berpuluh-puluh kenderaan yang diringi kawalan polis dilihat memasuki pekarangan istana sejak 5.30 petang, sementara pemberita berkumpul di luar pintu utama.

Ini merupakan kunjungan kali ke-2 Mahathir ke Istana Negara bagi memaklumkan tentang perubahan kerajaan persekutuan selepas beliau menunggu beberapa jam pada Mei 2018 untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-7.

Ketika ini, Mahathir kembali ke kediamannya di Seri Kembangan.

Laporan menyebut Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tiba di Istana Negara dengan helikopter pada 4.30 petang tadi.

Dalam pada itu, di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, FMT difahamkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan mesyuarat khas majlis tertinggi (MT) Umno untuk pergi ke istana.

Sejak awal pagi, Lembah Klang “sibuk” dengan cakap-cakap bahawa Mahathir akan memimpin satu langkah politik untuk menendang keluar DAP daripada Pakatan Harapan (PH) yang berjaya merampas kuasa kerajaan berikutan kemenangan bersejarah gabungan politik itu pada pilihan raya umum Mei 2018.

Pagi ini pemimpin tertinggi PPBM mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti itu di Yayasan Selangor, Petaling Jaya, sementara penyokong timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengadakan mesyuarat berasingan di hotel Sheraton yang berdekatan.

FMT sebelum ini melaporkan Mahathir dijangka menyertai Azmin di hotel tersebut lewat hari ini. Difahamkan satu sidang media akan diadakan malam ini.

Perubahan politik di Putrajaya akan menamatkan penglibatan DAP dalam kerajaan persekutuan, sementara parti berteraskan orang Melayu dijangka memainkan peranan dominan dalam gabungan baru politik yang bakal muncul.

FMT juga sebelum ini dimaklumkan oleh sumber yang boleh dipercayai bahawa beberapa menteri mengosongkan jadual rasmi mereka untuk minggu akan datang, sementara yang lain mengemas meja masing-masing susulan desas-desus akan digugurkan atau dipindahkan ke portfolio lain.

FMT tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut. Panggilan telefon kepada pemimpin utama DAP, termasuk setiausaha agung parti itu dan menteri kewangan, Lim Guan Eng, tidak dijawab.

Ketegangan semakin memuncak dalam Pakatan Harapan (PH) ketika PKR, DAP, dan Amanah terus menekan Mahathir supaya menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Perkembangan hari ini berlaku kurang 48 jam selepas sidang media pada tengah malam Jumaat, yang menyaksikan Mahathir secara tegas mengumumkan beliau masih berkuasa dan rakan kongsi dalam PH memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal sebagai perdana menteri selagi dia mahu.

Bulan lepas, FMT melaporkan pertemuan peribadi antara Mahathir dengan presiden PAS, Abdul Hadi Awang mungkin memberi isyarat tentang penyusunan semula kuasa politik di Putrajaya, langkah yang mungkin mengetepikan DAP, dan khususnya, menggagalkan cita-cita Anwar menjadi perdana menteri.

Penyusunan baru itu akan menyatukan kumpulan politik yang menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di nusa teras Melayu di wilayah utara Semenanjung.

Laporan tambahan oleh Ainaa Aiman di Istana Negara, Minderjeet Kaur di Seri Kembangan dan Adam Abu Bakar di PWTC, Kuala Lumpur.