KEMASKINI: Hadi, pemimpin Umno, PAS, PPBM hadir ‘makan malam’ kumpulan Azmin di PJ

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hadir bersama-sama pemimpin Umno dan PAS di hotel Sheraton, Petaling Jaya malam ini.

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin Umno dan PAS dilihat di Hotel Sheraton, yang pada pagi tadi menjadi tempat mesyuarat pemimpin PKR yang menyokong timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali.

Perkembangan ini di sebalik spekulasi mengenai penyusunan baru politik yang akan menamatkan komposisi semasa parti komponen Pakatan Harapan (PH).

FMT dimaklumkan oleh sumber PKR, kehadiran pemimpin Umno dan PAS dipercayai bagi memenuhi undangan majlis makan malam bersama pemimpin PKR yang menyokong Azmin.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya sekadar berseloroh dengan pemberita.

“Eh, ada dinner (makan malam) ke? Oh, dinner rupanya,” katanya.

Antara pemimpin Umno yang kelihatan adalah Presiden Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Annuar Musa, Ismail, dan Bendahari Tengku Adnan Tengku Mansor.

Di pihak PAS adalah Presiden Abdul Hadi Awang, Timbaalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, dan Ketua Dewan Ulama, Mohd Zawawi Salleh.

Di pihak PKR adalah Azmin, Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua, dan Ahli Parlimen Kamarudin Jaffar.

Pimpinan Umno dan PAS tiba berasingan sejak 7.20 petang tadi.

Sementara itu pimpinan PPBM turut menyertai majlis makan malam ini, iaitu Presiden Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Marzuki Yahya, Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan ahli majlis pimpinan tertinggi, Redzuan Md Yusoff.

Turut kelihatan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, dan Ahli Parlimen Mustapa Mohamed.

Mahathir dilaporkan pulang ke kediamannya di Seri Kembangan selepas mesyuarat dengan ahli parti. Beliau dijangka menyertai makan malam di Sheraton Petaling Jaya, tetapi sumber di Pejabat Perdana Menteri berkata beliau tidak akan berada di situ.