Iran tutup sekolah, universiti selepas Covid-19 korban 5 mangsa

Terdapat 28 kes jangkitan Covid-19 disahkan di Iran. (Gambar AP)

TEHRAN: Iran mengarahkan penutupan sekolah, universiti dan pusat kebudayaan pada Sabtu selepas wabak Covid-19 mengorbankan 5 orang di negara itu.

Langkah itu dibuat kerana pihak berkuasa Iran melaporkan 1 lagi kematian dalam kalangan 10 kes baru virus itu.

Sejak ia muncul pada Disember, Covid-19 membunuh 2,345 orang di China, pusat epidemik, dan 17 di negara lain di dunia.

Wabak Covid-19 di Iran pertama kali muncul pada Rabu, ketika pihak berkuasa berkata ia meragut nyawa 2 warga tua di Qom, kota suci Syiah di selatan ibukota.

Mereka adalah kematian pertama yang disahkan di Timur Tengah. Iran melaporkan 2 lagi kematian pada Jumaat.

“Kami mempunyai 10 kes baru yang disahkan Covid-19,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan Kianoush Jahanpour kepada televisyen negara pada Sabtu.

“Satu daripada kes baru itu malangnya meninggal dunia,” katanya, sambil berkata 8 daripada mereka dimasukkan ke hospital di Qom dan 2 di Tehran, tanpa memperincikan di mana kematian berlaku.

Kes terbaru itu menjadikan 28 kes jangkitan disahkan di Iran.

Berdasarkan angka rasmi, hampir 18% daripada mereka yang dijangkiti Covid-19 di Iran meninggal dunia, berbanding hanya 3% di China.