Lynas yakin lesen operasinya akan diperbaharui

Kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Lynas Malaysia yakin lesen operasinya akan diperbaharui sebelum lesen 6 bulan syarikat itu tamat 2 Mac depan.

Pada satu sidang media hari ini, naib presiden dan pengarah urusan syarikat nadir bumi itu Mashal Ahmad berkata, mereka juga berharap memperoleh lesen lanjutan 3 tahun seperti yang mereka perolehi sebelum ini.

Sebelum berlakunya pertukaran kerajaan dalam pilihan raya umum ke-14, Lynas mendapat lesen lanjutan 3 tahun untuk kilang Lynas Advanced Material di Gebeng, di sini.

Pada Ogos tahun lepas, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom memperbaharui lesen Lynas dengan syarat ia memindahkan proses “cracking and leaching” ke luar negara dan mengenal pasti lokasi bagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal sisa kilangnya.

Mashal berkata, mereka yakin lesen syarikat itu akan diperbaharui kerana ia telah memenuhi semua syarat ditetapkan.

“Kami yakin kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membuat keputusan berdasarkan fakta sains dan mengikut undang-undang.”

Katanya, jika Lynas gagal memperoleh lesen lanjutan 3 tahun seperti sebelum ini, maka bakal pelabur akan menarik diri.

Beliau berkata, syarikat konglomerat dari German, Siemens bercadang untuk mendirikan kilang pembuatan mereka di sini kerana wujud akses kepada nadir bumi yang dikeluarkan oleh Lynas, yang merupakan satu-satunya kilang pemproses nadir bumi di luar negara China.

Bagaimanapun katanya, bantahan terhadap Lynas, yang telah disahkan selamat oleh pelbagai audit tempatan dan antarabangsa, termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa PBB (IAEA), menyebabkan syarikat itu memutuskan untuk tidak berbuat demikian.

“Siemens perlukan nadir bumi untuk kincir angin yang dikeluarkannya. Mereka perlu membeli produk Lynas, tidak kira di mana ia dikeluarkan. Tetapi Malaysia rugi kerana mereka tidak datang ke sini,” katanya dengan menambah bahawa pelaburan tersebut, yang sepatutnya dibuat pada 2011, dianggarkan bernilai AS$1 bilion dan boleh menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan.

Mashal berkata demikian berikutan majlis hari terbuka di kilang tersebut anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan beberapa NGO lain.

Antara yang hadir ialah pemimpin MPM, termasuk Hanif Omar, Abu Zahar Nik Ujang, Abdul Aziz rahman dan Hassan Mad.

Setiausaha agung Majlis Perundingan Melayu Hassan Mad (tengah) berkata, nadir bumi adalah ekonomi baru yang harus dimajukan oleh Malaysia.

Hassan, yang juga setiausaha agung MPM berkata, mereka melihat nadir bumi sebagai ekonomi barru Malaysia dan bercadang untuk memajukannya.

“Kita tidak harus ketinggalan dalam ekonomi baru ini. Kita tidak mempromosi Lynas, tetapi ekonomi nadir bumi.

“Secara kebetulan Lynas adalah satu-satunya pengeluar nadir bumi di sini.

“Sasaran berikutnya ialah bagaimana kita boleh memperkembang industri ini, terutamanya industri hiliran.”

Dalam pada itu, Aziz berkata, Lynas sehingga kini berjalan baik, terutama dalam isu keselamatan dan ini terbukti daripada banyak laporan badan tempatan dan antarabangsa.

“Isu ini telah dipolitikkan.”

Lebih 2,000 orang hadir ke hari terbuka itu yang turut melibatkan lawatan tapak dan representasi oleh pakar Lynas.