NGO gesa peguam negara bebas tahanan IS, selepas tarik pertuduhan berkait LTTE

Peguam Negara Tommy Thomas baru-baru ini menarik balik semua pertuduhan terhadap 12 individu yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE.

PETALING JAYA: Satu kumpulan yang mewakili individu yang kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) (Sosma) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) mendesak Peguam Negara Tommy Thomas supaya menarik balik kes mereka.

Pemimpin Desak Sampai Mansuh (DSM) Mahathir Rahman berkata, individu terbabit dituduh melakukan kesalahan yang serupa atau lebih ringan berbanding 12 individu yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Terbaru Tommy menarik balik semua pertuduhan terhadap 12 individu berkenaan.

“Peguam negara perlu tarik balik kes mereka yang masih berjalan di mahkamah atas kesalahan yang sama dengan (kes) LTTE.

“Untuk mereka yang telah dijatuhi hukuman, perlu diberikan perbicaraan yang adil dan hukuman ringan<” kata Mahathir dalam satu kenyataan.

Beliau yang mewakili 86 tahanan di penjara Tapah berkata, individu terbabit telah ditahan lebih 4 tahun.

Katanya, mereka ditahan kerana menyimpan gambar di Syria, menunjukkan simpati kepada IS dan menyimpan bendera dan logo “kalimah Lailahaillah” yang dikaitkan dengan IS.

Beliau berkata, tahanan LTTE bernasib baik dengan diwakili peguam handal yang bersedia membela mereka.

Dalam pada itu beliau mendakwa, tahanan IS didera dan dipaksa mengaku bersalah.

“Hanya sebilangan mereka (tahanan berkait IS) memilih untuk mencabar (penahanan mereka) dan individu ini dikenakan hukuman berat.”