Penyokong Anwar berkumpul petang ini, mohon ‘jauhi kejahatan’

Makluman di laman rasmi Facebook PKR yang meminta ‘rakan seperjuangan parti’ berkumpul di kediaman presiden parti itu di Segambut petang ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PKR hari ini mengundang penyokong presiden parti ini Anwar Ibrahim ke kediaman beliau itu bagi memohon perlindungan daripada sebarang “kejahatan” yang berkemungkinan berlaku.

Undangan itu timbul di sebalik desas-desus penyusunan semula politik yang boleh menamatkan komposisi semasa parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Laman Facebook rasmi Parti Keadilan Rakyat dalam satu makluman memberitahu, kesemua “rakan seperjuangan parti” diminta berkumpul di kediaman Anwar di Segambut bermula jam 6 petang ini.

“Kita mohon doa, zikir dan Selawat Nuril Anwar agar diberi perlindungan daripada segala kejahatan dan dipermudahkan segala urusan,” kata makluman itu dengan tanda pagar #mohonpetunjuk, #selawatNurilAnwar dan #Untuksemua.

Makluman yang meminta penyokong Anwar hadir ke rumah beliau malam ini.

Awal hari ini, pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad hadir ke menara Yayasan Selangor, bersama presiden parti, Muhyiddin Yassin, ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta ahli Majlis Tertinggi Rais Yatim dan Wan Saiful Wan Jan.

Mereka dipercayai mengadakan menyuarat tergempar di sebalik dakwaan perubahan kerajaan.

Tidak jauh dari lokasi mesyuarat PPBM itu, pemimpin PKR yang menyokong timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali bersiap sedia untuk bermesyuarat di Hotel Sheraton Petaling Jaya.

Antara 9 pemimpin PKR yang dilihat di hotel itu ialah Zuraida Kamaruddin, Saifuddin Abdullah, dan Rashid Hasnon.

Sementara itu, pemimpin kanan Umno juga mengadakan mesyuarat tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

FMT difahamkan suatu keputusan penting akan dibuat oleh PPBM hari ini “yang boleh menyaksikan parti itu meninggalkan rakan kongsinya sekarang” untuk membentuk pakatan politik baru.

Perkembangan hari ini berlaku kurang 48 jam selepas sidang media pada tengah malam Jumaat, yang menyaksikan Mahathir secara tegas mengumumkan beliau masih berkuasa, dan rakan kongsi dalam PH memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal sebagai perdana menteri selagi dia mahu.