Putrajaya diminta terima pekerja asing dari Sabah

Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri, Henrynus Amin.

KOTA KINABALU: Pemimpin politik tempatan menggesa kerajaan meminda undang-undang yang menyekat pendatang asing tanpa izin memasuki Semenanjung Malaysia.

Henrynus Amin, presiden Parti Kerjasama Anak Negeri, berkata Putrajaya juga harus mengambil sebahagian beban migran yang ditanggung rakyat Sabah.

Katanya, adalah adil jika Malaysia Barat mengambil 500,000 dari 600,000 pendatang asing di mana Kementerian Dalam Negeri bercadang memberi pas sementara Sabah (PSS) yang membenarkan mereka tinggal di negeri itu.

Amin berkata terdapat 1.1 juta pendatang asing tanpa izin di Sabah, berbanding penduduk Sabah iaitu 3.9 juta. Beliau berkata Sabah hanya boleh mengendalikan 100,000 pendatang asing.

“Saya bercakap dengan ramai pendatang asing dan mereka mahu pergi ke Semenanjung Malaysia. Mereka tidak gembira tinggal sebagai penduduk setinggan dan tinggal di pulau-pulau sepanjang hidup mereka,” katanya.

“Putrajaya tidak lagi memerlukan sumber buruh dari Bangladesh atau mana-mana negara lain seperti Afrika. Terdapat begitu ramai pendatang di sini, Putrajaya boleh mengambil mereka,” katanya di forum umum mengenai pelarian dan pendatang tanpa izin.

Amin juga berkata ketua menteri Sabah dan Sarawak memegang kuasa imigresen khas yang boleh digunakan untuk menghentikan aliran pendatang asing.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal menangguhkan penerbangan dari China dan menghalang rakyat China memasuki negeri itu bagi mengelakkan penyebaran virus Covid-19.

“Dengan menggunakan hak tersebut, ketua menteri juga boleh menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin,” kata Amin, sambil menambah pihak berkuasa akan dipaksa menyekat kemasukan penumpang melalui udara dan laut.

Beliau juga mencadangkan pengaktifan semula Border Scout yang terdiri daripada penduduk setempat sebagai ahli.

Beliau berkata jumlah pendatang asing yang besar di negeri itu menimbulkan ancaman kepada keharmonian kaum dan politik Sabah, serta keamanan dan kedaulatan.

Adun Petagas, James Ligunjang berkata populasi pendatang asing begitu besar sehingga mereka menguasai banyak sektor seperti pembinaan dan perladangan di negeri itu.

Beliau berkata hasil penggunaan pekerja asing selama bertahun-tahun mengakibatkan ramai rakyat Sabah kurang kemahiran dan berkebolehan, malah “mereka tidak dapat menyelesaikan masalah paip mereka sendiri di rumah.”

Jeremiah Yee berkata terdapat 73,000 pelarian di Sabah.

Seorang peguam, Jeremiah Yee, berkata pelarian yang melarikan diri ke selatan Filipina pada 70-an didaftarkan antara 1976 dan 1985 dan diberikan pas IMM13.

Untuk melayakkan diri, pendatang asing mesti mengisytiharkan niat mereka untuk tidak tinggal di Sabah secara kekal. Dari 1987 hingga 1992, beliau berkata terdapat 73,000 pelarian di Sabah.