Saintis AS dakwa sudah temui vaksin Covid-19

Vaksin itu didakwa sedia untuk diuji ke atas haiwan dan penilaian pengawal selia AS. (Gambar AP)

Saintis di sebuah syarikat kejuruteraan genetik di Texas mendakwa sudah mencipta vaksin untuk jangkitan Covid-19.

Greffex memberitahu Houston Business Journal ia sudah bersedia untuk ujian ke atas haiwan dan penilaian pengawal selia Amerika Syarikat (AS).

Namun menurut Metro.co.uk membangunkan vaksin hanyalah peringkat permulaan dalam perjalanan ke arah pengedarannya dengan kebanyakan pakar bersetuju tempoh antara ujian dan pengeluaran mengambil masa antara 18 bulan dan 2 tahun.

Firma itu juga menegaskan sebagai langkah keselamatan, saintis mengelak menggunakan apa jua bentuk virus itu sendiri untuk menghasilkan vaksin tersebut.

Disebabkan tidak banyak diketahui mengenai virus itu, pakar tidak mahu menjalankan risiko pendedahan atau penyebaran.

Sebaliknya mereka menggunakan adenovirus sebagai salah satu punca penyebab jangkitan pernafasan.

Beberapa syarikat lain turut bersaing untuk membangunkan vaksin itu berdasarkan keluaran mereka semasa wabak SARS sebelum ini.

Para saintis di Universiti Texas terpaksa mencipta molekul yang membentuk protein pada permukaan koronavirus untuk menghasilkan peta 3D pada struktur itu.

Mereka percaya sebatian itu sendiri boleh digunakan sebagai vaksin yang mencetuskan tindak balas imun terhadap virus.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]