Tabah dan sabar, mufti Pulau Pinang beritahu Anwar

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor pada majlis salat hajat dan doa selamat di rumah Anwar di Segambut.

KUALA LUMPUR: Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menasihatkan Anwar Ibrahim supaya tabah dan bersabar pada majlis salat hajat dan doa selamat di kediaman presiden PKR itu malam ini.

“Dan jika Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) akan sebahagian daripada balasan azab yang Kami janjikan kepada mereka, atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu, maka kepada Kamilah tempat kembali mereka; kemudian Allah yang memberi keterangan mengenai apa yang mereka lakukan,”kata Wan Salim memetik ayat al-Quran.

Parti itu meminta penyokong Anwar berkumpul di rumah beliau malam ini susulan desas-desus akan berlakunya rombakan Kabinet dan penyusunan baru politik.

Dalam satu hantaran di laman rasmi PKR di Facebook, parti itu memetik ayat al-Quran yang berbunyi, “Mereka merancang, dan Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang.”

Sebelum majlis bermula petang tadi, beberapa pemimpin kanan PKR dilihat hadir, antaranya setiausaha agung, Saifuddin Nasution Ismail; pengarah komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Nik Nazmi Nik Ahmad, Lee Boon Chye, Dr Xavier Jayakumar, Abdullah Sani, Wong Cheng.

Mereka kemudian keluar meninggalkan kediaman Anwar kira-kira jam 6 petang.

Sementara itu, seorang penyokong Anwar ketika ditemui berkata, majlis salat hajat dan doa selamat itu diadakan setiap minggu, dan bukanlah sesuatu yang baru.

“Majlis macam ini ada setiap minggu pada hari Ahad. Cuma malam ini rasa lain macam sebab macam-macam cerita kita dengar. Kata nak tukar kerajaan dan sebagainya,” kata beliau yang mahu dikenali sebagai Razak.

Hadir sama ialah, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri.

Lebih 100 penyokong Anwar hadir pada majlis itu.

Pihak media yang berkumpul di pekarangan kediaman tersebut sejak jam 3 petang tidak dibenarkan masuk dan diminta menunggu di luar.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan memaklumkan tentang perubahan dalam kerajaan gabungan pimpinan beliau.

Berpuluh-puluh kenderaan yang diringi kawalan polis dilihat memasuki pekarangan istana di sini sejak jam 5.30 petang, sementara pemberita berkumpul di luar pintu utama.

Sejak awal pagi, Lembah Klang ‘sibuk’ dengan cakap-cakap bahawa Mahathir akan memimpin satu langkah politik untuk menendang keluar DAP daripada Pakatan Harapan (PH) yang berjaya merampas kuasa kerajaan berikutan kemenangan bersejarah gabungan politik itu pada pilihan raya umum Mei 2018.

Perubahan politik di Putrajaya akan menamatkan penglibatan DAP dalam kerajaan persekutuan, sementara parti berteraskan orang Melayu dijangka memainkan peranan dominan dalam gabungan baru politik yang bakal muncul.

Perkembangan hari ini berlaku kurang 48 jam selepas sidang media pada tengah malam Jumaat, yang menyaksikan Mahathir secara tegas mengumumkan bahawa beliau masih berkuasa dan rakan kongsi dalam PH memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal sebagai perdana menteri selagi beliau mahu.