Wanita warga tempatan pulih Covid-19

KKM melaporkan 22 kes Covid-19 termasuk 20 kes import.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Malaysia berusia 40 tahun yang disahkan positif Covid-19 pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang petang semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan wanita berkenaan adalah kes ke-13 yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan disahkan positif Covid-19 pada 5 Feb lalu.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang pulih sepenuhnya dan discaj sehingga hari ini adalah sebanyak 18 orang dengan 4 masih dirawat di wad dan semua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham turut memaklumkan setakat 23 Feb lalu, secara kumulatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 22 kes Covid-19 termasuk 20 kes import atau dari luar iaitu kes yang mempunyai sejarah perjalanan dari atau tinggal di luar negara, khususnya dari China.

Baki 2 kes lagi adalah dalam kalangan ahli keluarga kepada 1 daripada kes COVID-19 yang merupakan warga Malaysia.

“Mengambil kira dapatan ini, KKM bertindak proaktif dengan memperkukuhkan Survelan Covid-19 bagi mengesan kes dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Sistem survelan ini mengguna pakai konsep yang sedia dilaksanakan bagi Sistem Survelan Influenza – iaitu melalui pengesanan kes jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) dan pengesanan kes influenza-like illness (ILI) yang memenuhi kriteria, masing-masing di peringkat hospital serta klinik kesihatan yang dikenal pasti,” katanya.

Noor Hisham berkata sehingga kini tiada sampel dikesan positif Covid-19 daripada sejumlah sampel yang diambil dan diuji melalui sistem survelan tersebut.

Pengukuhan pengesanan dalam kalangan kes Sari dimulakan sejak 12 Feb lalu manakala pengukuhan pengesanan dalam kalangan kes ILI pula dimulakan pada 22 Feb lalu.