Zon Maritim Semporna, Miri mula dibina tahun ini, kata Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, KDN meluluskan perolehan 4 helikopter ‘medium lift’ bernilai RM600 juta bagi memperkasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Pembangunan dan infrastruktur bagi pembinaan Zon Maritim Semporna, Sabah dan Zon Maritim Miri, Sarawak akan mula dilaksanakan pada tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pembinaan Zon Maritim Semporna amat relevan dalam memperkasakan kawalan di perairan Pantai Timur Sabah khususnya membantu di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) selain meningkatkan keupayaan operasi mencari dan menyelamat di perairan negara.

Selain itu, Muhyiddin juga memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan perolehan bagi empat helikopter ‘medium lift’ berjumlah RM600 juta, berdasarkan kepada prestasi dan usaha memperkasakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Dengan adanya aset dan infrastruktur ini, ia akan membantu mempermudahkan lagi APMM beroperasi di laut. Melalui pengukuhan aset ini, peranan APMM dalam memelihara kedaulatan negara juga dapat dipertingkatkan melalui konsep diplomasi ‘white hull’.

“Kita semua sedar di perairan negara terletaknya aset ekonomi seperti pelantar minyak dan gas yang menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada majlis Hari Ulang Tahun ke-15 dan Perbarisan Tamat Latihan Pegawai APMM di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan ketua setiausaha KDN Jamil Rakon. Turut hadir ketua pengarah APMM Laksamana Maritim Mohd Zubil Mat Som dan pengarah AMSAS Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said.

Muhyiddin memaklumkan sebanyak 349 pelantar minyak dan gas berada di perairan Pelantar Benua Malaysia merangkumi Pantai Timur Semenanjung dan Pantai Barat Borneo, selain difahamkan hampir 77,000 kapal kargo dan kapal minyak melalui Selat Melaka setiap tahun.

Beliau turut mengumumkan KDN bersetuju menyediakan peruntukan tambahan RM3 juta bagi kerja pembaikan fasiliti di AMSAS, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tujuan itu pada tahun ini sebanyak RM6 juta.

“Peruntukan ini diharapkan membolehkan fasiliti AMSAS ditambah baik seterusnya bersaing dengan pusat latihan lain. Diharapkan anggota APMM di AMSAS khususnya dapat bekerja dan menjalani latihan dalam suasana kondusif, selamat dan berkualiti,” katanya.

Muhyiddin juga berharap APMM dapat mengekalkan rekod sifar aktiviti perlanunan di perairan negara yang dicatatkan pada tahun lalu, selain kejayaan Op Naga yang merekodkan 127 daripada 197 tangkapan nelayan asing oleh APMM serta telah mengkoordinasikan 275 kes kecemasan sepanjang tahun 2019.

Kejayaan Op Naga, menurutnya membantu meningkatkan hasil nelayan tempatan selain secara tidak langsung membendung aktiviti penyeludupan dan penjualan petrol serta diesel bersubsidi kepada nelayan asing serta salah laku jenayah di laut.