9 ahli Parlimen PKR keluar parti, PH

Saifuddin Abdullah dan Baru Bian antara 2 menteri persekutuan yang meninggalkan PKR.

PETALING JAYA: Seramai 9 ahli Parlimen PKR, termasuk 2 menteri persekutuan mengumumkan keluar parti dan Pakatan Harapan, beberapa minit selepas pemecatan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin.

Mereka menerusi satu kenyataan berkata, blok bebas akan dibentuk di Parlimen yang turut disertai Azmin (Gombak) dan Zuraida (Ampang) yang mengisytiharkan keluar daripada PH.

Sembilan wakil rakyat itu ialah Menteri Luar, Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Menteri Kerja Raya, Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Mansor Othman (Nibong Tebal), Ali Biju (Saratok), Santhara Kumar (Segamat), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Semua 11 ahli Parlimen ini bersekutu dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang baru menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong.
Azmin dan Zuraida antara pemimpin PKR yang menemui ahli Parlimen PPBM, Umno, PAS, MCA dan MIC di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam menyebabkan timbul spekulasi gabungan baru akan membentuk kerajaan persekutuan.

Terdahulu, PPBM mengumumkan parti itu dan semua ahli Parlimennya meninggalkan PH.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, semua wakil rakyat parti itu menandatangani akuan bersumpah untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Mahathir sebagai perdana menteri.