Adakan pilihan raya, dapat mandat baru, kata Bersih 2.0

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata, pembentukan kerajaan ‘pintu belakang’ tidak boleh diterima.

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini menggesa agar satu pilihan raya diadakan untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat susulan perkembangan terkini politik negara.

Bersih 2.0 dan 31 pertubuhan masyarakat sivil (NGO) lain membuat gesaan itu dalam satu sidang akhbar yang berlangsung di ibu pejabat Bersih 2.0 di sini.

Bersih 2.0 menolak kerajaan “pintu belakang”, kata pengerusinya Thomas Fann sambil menambah bahawa pembentukan sebarang kerajaan pintu belakang tidak boleh diterima.

Beliau turut menggesa ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya atas tiket Pakatan Harapan (PH), tetapi menukar sekutu agar meletak jawatan serta-merta kerana mereka tidak lagi mempunyai mandat rakyat.