Agong batal pelantikan semua menteri

Gambar Bernama.

PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali malam ini mengumumkan Agong bersetuju untuk membatalkan pelantikan menteri-menteri pada hari ini selaras dengan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sultan Abdullah membatalkan pelantikan mereka atas nasihat Mahathir sebagaimana yang diperuntukkan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.

“Tugas-tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) terhenti pada tarikh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkara 43 perlembagaan menetapkan bahawa pelantikan menteri adalah dibatalkan oleh Agong atas nasihat perdana menteri.

Pembatalan pelantikan itu adalah berikutan peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri.

Walaupun Agong menerima peletakan jawatan tersebut, Mahathir dilantik sebagai perdana menteri interim sehingga pembentukan kerajaan baru.