Angka korban Covid-19 hampiri 2,600

Seorang doktor memeriksa pesakit di sebuah hospital sementara di Wuhan. (Gambar AP)

BEIJING: Angka korban Covid-19 di China meningkat kepada 2,592 orang pada Isnin, selepas Suruhanjaya Kesihatan Nasional melaporkan lebih 150 kematian, di mana semua kecuali satu kes berlaku di wilayah Hubei yang teruk terjejas.

Suruhanjaya itu turut mengesahkan 409 kes jangkitan baru di China, semuanya direkodkan di Hubei kecuali 11 kes.

Beberapa wilayah tidak melaporkan jangkitan baru sejak beberapa hari lalu, ketika keadaan bertambah buruk di Hubei dan luar China.

Hanya satu kematian dilaporkan di luar Hubei pada Isnin, iaitu di wilayah Hainan dengan agensi berita rasmi Xinhua berkata, mangsa korban ialah seorang doktor berusia 55 tahun.

Itali melaporkan kematian ke-3 dan pihak berkuasa menangguhkan perlawanan bola sepak, manakala Karnival Venice dipendekkan.

Angka korban di Iran meningkat kepada 8 orang dan menyebabkan negara jiran melarang rakyat mereka berkunjung ke negara itu.