Anwar, PKR, DAP, Amanah bermesyuarat malam ini

Presiden PKR, Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan bermesyuarat bersama pimpinan PKR, DAP, dan Amanah lewat malam ini, beberapa jam selepas majlis makan malam timbalannya, Mohamed Azmin Ali bersama pimpinan Umno, PAS dan PPBM di Petaling Jaya.

Perkembangan ini menyusuli cakap-cakap mengenai penyusunan baru politik yang bakal menyaksikan kawan dan lawan membentuk gabungan pemerintah baru tersebar luas.

“Anwar jumpa pemimpin PKR, Amanah dan DAP malam ini,” kata setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kepada pemberita di kediaman rasmi Anwar.

Beliau bagaimanapun tidak beritahu lokasi mesyuarat itu.

Sejak awal pagi, Lembah Klang “sibuk” dengan cakap-cakap Mahathir akan memimpin satu langkah politik untuk menendang keluar DAP daripada Pakatan Harapan (PH) yang berjaya merampas kuasa kerajaan berikutan kemenangan bersejarah gabungan politik itu pada pilihan raya umum Mei 2018.

Perubahan politik di Putrajaya akan menamatkan penglibatan DAP dalam kerajaan persekutuan, sementara parti berteraskan orang Melayu dijangka memainkan peranan dominan dalam gabungan baru politik yang bakal muncul.

Bulan lepas, FMT melaporkan pertemuan peribadi antara Mahathir dengan presiden PAS, Abdul Hadi Awang mungkin memberi isyarat tentang penyusunan semula kuasa politik di Putrajaya, langkah yang mungkin mengetepikan DAP, dan khususnya, menggagalkan cita-cita Anwar menjadi perdana menteri.

Penyusunan baru itu akan menyatukan kumpulan politik yang menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di nusa teras Melayu di wilayah utara Semenanjung.