Anwar puas hati selepas jumpa Dr M

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim berpuas hati dengan pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas pertemuan mereka di kediaman peribadi pengerusi PPBM itu pagi tadi, ketika cakap-cakap mengenai penyusunan baru politik tersebar luas.

Presiden PKR itu berbincang dengan Mahathir bersama Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam pertemuan yang berakhir tengah hari tadi.

“Mahathir bincang beberapa perkara dan saya puas hati dengan pendirian dia bahawa prinsip harus kita utamakan, agenda reformasi harus diteruskan,” katanya kepada pemberita yang berkumpul untuk mesyuarat PKR hari ini.

Ditanya adakah hasil pertemuan mereka tidak akan membawa kepada pembentukan kerajaan baru, Anwar menjawab: “Saya tidak boleh sebut apa”.

“Memadai kita jelas setakat itu. Mesyuarat yang sangat baik dan saya terkesan dengan sikap dan pendirian beliau.”

Anwar bergegas ke mesyuarat khas majlis pimpinan pusat PKR yang bersidang ketika negara gempar dengan desas-desus mengenai penyusunan semula politik yang boleh menamatkan komposisi semasa Pakatan Harapan.

Semalam, timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali makan malam bersama pemimpin PAS, Umno dan PPBM. Pada petang hari sama, berpuluh kenderaan diiringi polis dilihat memasuki pekarangan Istana Negara pada 5.30 petang.

Anwar semalam pada suatu majlis keagamaan di kediamannya berkata ada cubaan menjatuhkan kerajaan PH membabitkan ahli politik PPBM dan PKR “yang khianat”.

Anwar dijangka menghadap Agong di Istana Negara petang ini.

Mesyuarat khas majlis pimpinan pusat PKR hari ini berlangsung tanpa kehadiran Azmin.

Antara pemimpin yang kelihatan Setiausaha Agung Saifudin Nasution Ismail; Naib Presiden Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Pahang, Fuziah Salleh; Pengerusi Kedah, Johari Abdul; Pengerusi Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi Negeri Sembilan, Aminuddin Harun; Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Abdullah Sani Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Pengelola, Nik Nazmi Nik Ahmad; dan Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil.