Azmin, Zuraida dan Baru Bian ke rumah Dr M

Azmin Ali menaiki kenderaan rasmi kerajaan bernombor pendaftaran VCH9 tiba di perkarangan rumah Dr Mahathir Mohamad pada 2.43 petang tadi.

SERI KEMBANGAN: Tiga menteri kanan, Mohamed Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Baru Bian menemui Dr Mahathir Mohamad di kediamannya di sini, selepas mereka mengumumkan keluar daripada PKR.

Azmin yang menaiki kenderaan rasmi kerajaan bernombor pendaftaran VCH9 tiba di perkarangan kediaman Mahathir pada 2.43 petang.

Ia disusuli Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan serta Baru Bian yang merupakan menteri kerja raya.

Terdahulu, 9 ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan Pakatan Harapan untuk membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Antara wakil rakyat itu ialah Menteri Luar, Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Mansor Othman (Nibong Tebal), Ali Biju (Saratok), Santhara Kumar (Segamat), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Azmin dan Zuraida turut mengumumkan keluar daripada PH untuk menyertai blok bebas itu selepas dipecat PKR.