Bertenang, jangan spekulasi, KPN beritahu rakyat

Hamid Bador berkata proses demokrasi berjalan dengan baik.

KUALA LUMPUR: Ketua polis negara hari ini menggesa rakyat tidak buat spekulasi susulan peletakan jawatan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menyeru rakyat supaya bertenang, dan mahu ahli-ahli politik dan penyokong masing-masing supaya bersabar.

Proses demokrasi berjalan dengan baik, katanya kepada pemberita di Istana Negara petang tadi.

Hamid berkata tindakan akan diambil terhadap mana-mana orang yang timbulkan cerita palsu yang boleh buat kegusaran.

Pegawai tertinggi polis itu dipanggil menghadap Agong untuk taklimat keselamatan negara dan ketenteraman awam susulan perkembangan hari ini.

Hamid memaklumkan negara masih aman walaupun timbul kekhuatiran tentang perkara-perkara yang ada kaitan dengan politik.

Agong mengarahkan polis pastikan ketenteraman terus terjamin, katanya.

Hamid juga berkata ketua setiausaha negara akan membuat suatu pengumuman susulan peletakan jawatan Mahathir.

Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Agong pada 1 tengah hari tadi.

Beliau juga melepaskan jawatan pengerusi PPBM.