Bubar parti Future Forward ikut perlembagaan, kata kementerian luar Thailand

Pemimpin FFP Thanathorn Juangroongruangkit (tengah) dan penyokong parti itu menunjukkan simbol 3 jari menandakan tentangan mereka terhadap kerajaan pimpinan bekas jeneral Prayuth Chan-ocha. (Gambar AP)

BANGKOK: Keputusan mahkamah yang membubarkan Parti Future Forward (FFP) pada Jumaat lalu dilaksanakan berlandaskan perlembagaan negara, kata Kementerian Luar Thailand.

Menurut kenyataan kementerian itu, kerajaan Thailand maklum mengenai perhatian yang diberikan sesetengah negara dalam kes pelanggaran undang-undang yang membawa kepada pembubaran FFP.

Jelas kementerian, keputusan mahkamah itu dilaksanakan selaras dengan perlembagaan negara dan Organic Law on Political Parties B.E. 2560 (2017).

“Harus juga diambil maklum dalam konteks itu perlembagaan sudah meluluskan pungutan suara dan menjadi panduan terhadap pelaksanaan prinsip perundangan untuk semua parti politik yang menyertai pilihan raya umum sebelum ini.

“Walaupun komited memperkukuh nilai demokrasi dan pluralisme politik, kami percaya semua pihak di Thailand menghormati kedaulatan negara dan menyokong pelaksanaan undang-undang.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi balas susulan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap pembubaran FFP.

Pada Jumaat Mahkamah Perlembagaan Thailand membubarkan FFP dan melarang eksekutif parti itu menyertai sebarang aktiviti politik selama 10 tahun, bagi kesalahan berkaitan pinjaman pilihan raya daripada pemimpinnya Thanathorn Juangroongruangkit.

Dalam penghakiman, sembilan hakim berkata pemimpin FFP, melanggar peraturan dengan memberikan pinjaman 191.2 juta baht kepada parti pimpinannya itu semasa kempen pilihan raya tahun lepas.

Berikutan pembubaran FFP, beberapa kedutaan asing di Thailand mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan mahkamah itu.

Ditubuhkan pada 2018, FFP berada di tempat ketiga dalam pilihan raya tahun lepas dan pada Mac lepas parti itu menjadi sebahagian blok pembangkang.

11 daripada 16 anggota jawatankuasa eksekutif parti, terdiri daripada ahli Parlimen akan kehilangan kerusi mereka.

Selebihnya, seramai 65 ahli Parlimen mempunyai tempoh 60 hari untuk mendapatkan keahlian dalam parti lain sebelum status mereka tamat.