Budak lelaki kerdil mangsa buli jadi tumpuan ramai bela nasibnya

Quaden dilihat berada di barisan paling hadapan berpimpinan tangan dengan Joel Thompson mengiringi pasukan Indigenous All-Stars masuk ke padang.

Seorang kanak-kanak lelaki kerdil yang videonya tular baru-baru ini gara-gara mahu membunuh diri ekoran sering dibuli, mengkagumkan orang ramai selepas dilihat berpimpinan tangan dengan pemain ragbi terkenal.

Penonton di Stadium Super Cbus di Gold Coast berteriak dan menjerit ketika mereka melihat Quaden berjalan berpimpin tangan bersama kapten Indigenous All-Stars, Joel Thompson menjelang perlawanan dengan Maori All-Stars pada Sabtu.

Memetik laporan Metro.co.uk Quaden dilihat berada di barisan paling hadapan mengiringi pasukan Indigenous All-Stars masuk ke padang.

Netizen di media sosial juga turut berasa gembira dan teruja melihat kanak-kanak tersebut membuat kemunculan bersama bintang ragbi.

“Kami mahu memeluknya dan memasukkannya ke dalam beberapa aktiviti kami, hanya untuk menunjukkan bahawa kami peduli dan kami berada di sini untuknya,” kata jurulatih Laurie Daley.

Baru-baru ini video Quaden menangis dan meluahkan perasaannya menjadi mangsa buli dimuat naik ibunya, Yarraka Bayles di media sosial.

Video tersebut menarik perhatian ramai kerana begitu menyentuh hati.

Antara yang turut terkesan aktor terkenal Hollywood seperti Hugh Jackman, Mark Hamill dan Jeffrey Dean Morgan yang turut menitipkan kata-kata semangat buat kanak-kanak berusia 9 tahun itu.

Namun ada juga pihak mendakwa video tersebut satu penipuan bagaimanapun ibu Quaden, Yarraka menafikan dakwaan video itu diadakan untuk mengutip wang dan Quaden sebenarnya berumur 18 tahun.

Wanita itu juga mengeluarkan amaran terhadap satu laman web yang menggerakkan pengumpulan dana untuk anaknya secara haram.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]