KEMASKINI: DAP rayu Dr M kembali jadi PM

Lim Guan Eng berkata, DAP akan mengemukakan cadangan untuk mencalonkan semula Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

KUALA LUMPUR: Kepimpinan DAP hari ini berkata, ia akan meminta Dr Mahathir Mohamad kembali mentadbir negara dalam mesyuarat tergempar Majlis Presiden Pakatan Harapan malam ini.

Ini menyusul tindakan Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatan perdana menteri kepada Agong tengah hari tadi.

“Saya sudah temui Tun pagi ini di rumahnya dan terkejut apabila beliau memaklumkan hasratnya untuk meletak jawatan,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selepas mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti itu di sini.

Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan timbalannya, Gobind Singh Deo.

Lim berkata, Mahathir tidak setuju rancangan bekerjasama dengan Umno “apabila kami bekerja keras untuk menolak Umno dengan berjayanya pada pilihan raya umum 2018”.

“DAP memuji pendirian berprinsip Tun yang enggan bekerjasama dengan Umno, di mana pemimpinnya terbabit dalam amalan rasuah dan salah tadbir menyebabkan Malaysia dilabel sebagai kleptokrasi global paling teruk.”

Katanya, Mahathir membuat keputusan meletak jawatan berdasarkan prinsipnya.

“Ini kali pertama seorang perdana menteri Malaysia sedia meletak jawatan atas prinsip menjunjung integriti dan memerangi rasuah.”

Ditanya alasan DAP mencalonkan Mahathir sebagai perdana menteri semula, Lim berkata, parti itu tidak mahu bekerjasama dengan parti yang dikalahkannya pada pilihan raya umum lalu atas “alasan ketara”.

“Ini ialah PM yang meletak jawatan (daripada partinya) atas prinsip, menolak usaha untuk menggugat kerajaan dipilih secara demokratik.”

Katanya, DAP merasakan Mahathir patut dibenar menyelesaikan apa yang hendak dilakukan, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan diadakan akhir tahun ini.

“Kita patut kekal dengan konsensus dicapai pada mesyuarat Majlis Presiden PH Jumaat lalu,” katanya sambil menambah tindakan lain akan merosakkan keputusan mesyuarat itu.

‘Kami ada sokongan mencukupi’

Lim berkata, parti itu boleh memberi jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan, tetapi beliau tidak memberi penjelasan lanjut.

“Saya rasa itu boleh diuji di Parlimen apabila ia bersidang semula pada Mac,” katanya mengulas dakwaan parti itu tidak mempunyai sokongan mencukupi.

Ditanya jika PH sudah dibubarkan, katanya, ini bergantung kepada hasil mesyuarat Majlis Presiden malam ini.

Beliau menyifatkan pertemuan dengan Mahathir pagi tadi sebagai beremosi.

“Apabila seorang PM beritahu beliau mahu letak jawatan kerana prinsip, ia adalah saat emosi.”

Katanya, Peguam Negara, Tommy Thomas akan mengeluarkan kenyataan mengenai status kerajaan.

Ditanya jika beliau masih menteri kewangan, beliau berkata: “Boleh anda tunggu kenyataan peguam negara? Anda (media) nampaknya lebih berminat dengan jawatan menteri kewangan berbanding jawatan PM. Saya rasa jawatan perdana menteri lebih menarik.”

Lim berkata, selain DAP, Amanah turut menyuarakan hasrat menyokong Mahathir sebagai perdana menteri.

Ditanya jika DAP tidak bersetuju dengan bekas pemimpin PKR, Mohamed Azmin Ali bekerjasama dengan Umno dan PAS, beliau menyerahkan kepada Mahathir untuk menjawabnya.

Beliau berkata, masalahnya ialah ahli PKR yang dipecat daripada parti hari ini dan mereka yang mahu bekerjasama dengan Umno serta parti pembangkang lain untuk menubuhkan kerajaan baru.

“Jelas Tun tidak boleh terimanya.

“Semua drama ini tidak perlu, kenapa dengan semua drama ini apabila kita patut fokus untuk meningkatkan ekonomi,” katanya sambil menambah negara turut berdepan cabaran penularan wabak Covid-19.

“Mari cakap mengenai mata pencarian, mari cakap mengenainya. Kenapa bercakap mengenai jawatan dan manfaat sendiri?

“Saya rasa ini benar-benar tidak bertanggungjawab. Saya rasa kita patut fokus kepada rakyat.”

Mengenai majlis makan malam di Hotel Sheraton semalam yang menyaksikan pemimpin PKR bersama pembangkang, Lim berkata, DAP tiada kaitan dengan “langkah Sheraton”.

Katanya, tindakan itu tidak berperlembagaan dan menentang amalan demokratik.