Dr M tidak terbabit komplot, dakwa diperguna, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, Dr Mahathir tidak terbabit dalam komplot politik yang sedang berlaku.

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, Dr Mahathir Mohamad kecewa dengan kemelut politik yang sedang melanda negara ketika ini.

Ditemui media di luar ibu pejabat PKR di sini selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Anwar berkata, dalam pertemuannya dengan ahli Parlimen Langkawi itu pagi tadi, Mahathir menyatakan beliau tidak terbabit dengan komplot politik yang berlaku.

“Saya merayu kepada beliau untuk PKR, Pakatan Harapan (PH) bahawa pengkhianatan ini boleh ditangani bersama, tetapi sudah tentu dia (Dr Mahathir) mempunyai fikiran berbeza.

“Dia fikir, dia tidak patut diperlakukan dengan cara itu. Namanya (Mahathir) digunakan, orang-orang di dalam parti saya (PKR) dan di luar (parti),” kata Anwar.

Anwar berkata, Mahathir juga tidak memainkan peranan dalam “komplot kerajaan campuran” yang sedang berlaku.

“Dia mengulangi apa yang dia katakan kepada saya tadi, dia tidak memainkan peranan di dalamnya (pembentukan kerajaan campuran),” katanya.

Anwar juga meminta semua pihak menghormati proses perlembagaan dengan membiarkan Mahathir dan Yang Dipertuan Agong menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku.

Terdahulu Anwar bertemu dengan Mahathir di kediaman beliau di Seri Kembangan, dekat sini..

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Ean Ismail; setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng dan presiden Amanah, Mohamad Sabu. Mereka dilihat memasuki kediaman Mahathir pada 10.45 pagi.

Dalam perkembangan sama hari ini, Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM beberapa jam selepas itu.