Goldman mengaku tak bersalah berkait terbitan bon 1MDB lebih RM27 bilion

Malaysia memfailkan 4 pertuduhan terhadap Goldman Sachs di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Disember 2018 atas dakwaan meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan anak syarikat 1MDB dan Aabar Investments PJS Ltd. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Wakil Goldman Sachs International Ltd yang berpangkalan di United Kingdom dan entitinya di Asia, Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini berhubung terbitan bon 1MDB bernilai RM27.2 bilion (AS$6.5 bilion).

Wakil syarikat itu, Ng Keng Leong membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah semasa pengurusan kes hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir, Norinna Bahadun, Aaron Chelliah dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam mewakili pihak pendakwaan, manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik, Krishna Dallumah, Prem Ramachandran dan Chetan Jethawani mewakili Goldman Sachs.

Zaki memohon semua pertuduhan terhadap 3 entiti itu dibicarakan bersama dan beliau juga memberitahu mahkamah, pihaknya akan memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh perbicaraan pada 9 hingga 13 Nov ini, 4 hingga 8 Jan tahun depan, 15 hingga 19 dan 22 hingga 26 Feb, 8 hingga 11 dan 15 hingga 18 Mac serta 5 hingga 8 dan 12 hingga 15 Apr tahun depan.

Mahkamah juga menetapkan 18 Mei ini untuk pengurusan kes.

Disember 2018, Malaysia memfailkan 4 pertuduhan terhadap Goldman Sachs di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS Ltd (Aabar).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis 1MDB di Aras 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012 hingga 11 Nov 2013.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun dan didenda tidak kurang RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menganggarkan kira-kira AS$4.5 bilion diseleweng daripada 1MDB antara 2009 hingga 2014.