Johor akan kaji keperluan turunkan cukai hiburan taman tema akibat Covid-19

Liow Cai Tung berkata, beliau menerima maklum balas daripada pemain industri taman tema berkaitan cukai hiburan yang akan dikenakan kepada pelancong asing susulan penularan wabak Covid-19. (Gambar Bernama)

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan mengkaji sama ada terdapat keperluan menurunkan kadar cukai hiburan taman tema untuk pelancong asing susulan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung bagaimanapun berkata, segala keputusan serta pendekatan berhubung perkara itu akan diambil selepas pakej rangsangan ekonomi bagi mengurangkan impak ekonomi luaran susulan penularan Covid-19 diumumkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 27 Feb ini.

“Saya memang terima maklum balas daripada mereka (pemain industri taman tema) berkaitan cukai hiburan yang akan dikenakan kepada pelancong asing.

“Perkara ini juga saya telah bangkitkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kita akan mengkaji berapa banyak penurunan jumlah pelancong, (selepas itu) baru kita buat keputusan,” katanya selepas penutupan sesi Dialog Awam Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan semalam.

Terdahulu, beliau ketika berucap dalam majlis itu berkata, pemain industri perlu menukar strategi, berusaha serta memberi tumpuan kepada sektor pelancongan domestik, selain merangka pakej kreatif dan istimewa bagi menarik pelancong tempatan.

Katanya, kerajaan negeri sudah mengambil beberapa langkah untuk menarik kedatangan pelancong.

“Kerajaan Johor telah menjalankan jerayawara publisiti bersama Tourism Johor bagi Tahun Melawat Johor bersama Sekretariat Sukan Malaysia Johor 2020 di kawasan tumpuan, iaitu Perak bulan ini dan beberapa negeri lagi bagi mempromosi Johor bulan depan.

“Tourism Johor juga mengambil pendekatan bersama blogger dan individu berpengaruh di media sosial tempatan untuk mempromosi lebih banyak tempat menarik di negeri ini…ini antara usaha untuk menarik pelancong.”