Kos pencemaran udara di Malaysia mungkin lebih RM28 bilion, kata pakar

Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort di Pasir Gudang, Johor dirawat selepas mengalami sesak nafas dan loya akibat pencemaran udara pada Jun tahun lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakar alam sekitar bersetuju kos tahunan untuk pencemaran udara di Malaysia mungkin lebih tinggi daripada RM28 bilion yang dianggarkan satu kajian Greenpeace.

Pencemaran udara ialah punca utama asma, strok, kanser paru-paru dan kematian pramatang yang turut membawa kesan ekonomi lain seperti kos rawatan, pengurusan keadaan kesihatan dan pekerja tidak dapat bekerja.

Baru-baru ini, Greenpeace dalam satu laporannya mendapati kos bagi pencemaran udara akibat pembakaran bahan api fosil ialah AS$8 bilion (RM33.5 bilion) sehari, iaitu kira-kira 3.3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) atau AS$2.9 trilion (RM12.1 trilion) setahun.

Di Malaysia, impak pencemaran udara berkaitan bahan api fosil antara AS$2.8 hingga AS$6.7 bilion (RM11.7 bilion hingga RM28 bilion) setahun, dengan 10,000 kematian pramatang, satu lagi statistik mengejutkan daripada laporan itu.

Dari segi KDNK, laporan itu berkata, ekonomi Malaysia kerugian sehingga 1.9% kepada pencemaran udara berkaitan bahan api fosil setiap tahun.

Disebabkan laporan itu menggunakan data yang dikumpul pada 2018, pakar perubahan iklim di Pusat Tadbir dan Kajian Politik, Renard Siew berkata angka itu mungkin sudah meningkat sejak itu.

“Pencemaran udara dijangka bertambah buruk setiap tahun kerana lonjakan dalam pengindustrian dan kita terus membakar bahan api fosil.

“Ia memberi prospek amat ‘menakutkan’ (dan ini) tentu bukan statistik yang kita patut banggakan,” katanya kepada FMT.

Matthew Ashfold dari Universiti Nottingham Malaysia berkata, kajian itu hanya mengkaji kesan pencemaran udara akibat bahan api fosil tanpa mengambil kira kesan kebakaran yang penting kepada masalah jerebu dihadapi Malaysia setiap tahun.

Dengan menekankan lebih banyak kajian perlu dilakukan ke atas impak pembakaran sisa buangan kecil-kecilan di Malaysia, katanya, ada beberapa masalah pencemaran udara yang diwar-warkan berkaitan pembuangan bahan kimia industri kebelakangan ini.

Pihak berkuasa terpaksa menutup sekolah di Pasir Gudang, Johor pada Julai tahun lalu – buat kali ke-2 dalam masa 3 bulan – selepas pencemaran udara daripada kilang berhampiran yang menyebabkan pelajar muntah-muntah, loya dan kesukaran bernafas.

“Kajian lain menganggarkan kesan besar tambahan ke atas ekonomi dan kesihatan akibat jerebu,” katanya kepada FMT.

“Bukti baru kesan pencemaran udara muncul secara berterusan, seperti bahaya ke atas kesihatan mental dan prestasi kerja, mencadangkan impak lebih luas ke atas masyarakat.”

Siew dan Ashford menggesa lebih banyak penekanan ke atas pembangunan pengangkutan awam, tenaga boleh diperbaharui dan bahan api lebih bersih dalam usaha mengurangkan impak akibat pencemaran udara.

Beralih daripada bekalan elektrik dan pengangkutan berasaskan bahan api fosil juga dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, tetapi mereka berkata, rancangan itu memerlukan integrasi lebih baik dan dilaksanakan secara besar-besaran.

Aidan Farrow, penulis utama laporan itu dan saintis kualiti udara di Greenpeace International, memberitahu FMT analisis penyelesaian mereka mendapati tenaga boleh diperbaharui dan alternatif lain untuk penggunaan bahan api fosil tidak mahal dan perlu diperbanyakkan pelaksanaannya.

Beliau memetik contoh di Amerika Syarikat dan Colombia, di mana setiap AS$1 yang dilaburkan dalam Akta Udara Bersih AS mendapat pulangan sekurang-kurangnya AS$30 dan inisiatif bebas kereta di Colombia menjana sehingga AS$4 dari segi manfaat kesihatan bagi setiap AS$1 dilaburkan.

“Kami dapati penggunaan bahan api fosil menelan kos besar…Syarikat yang mendapat keuntungan daripada pengeluaran dan penggunaan bahan api fosil tidak membayar kos itu, ia adalah beban tidak adil ke atas masyarakat.

“Perbandingan kami bagi kos bahan api fosil ke atas pulangan daripada pelaburan dalam udara bersih menunjukkan wang tidak patut menjadi halangan untuk menangani krisis pencemaran udara.”