Kumpulan Azmin mesyuarat khas malam ini

Wartawan menunggu di lobi Hotel Sofitel di Bukit Damansara di mana Azmin Ali dan kumpulan bermesyuarat.

KUALA LUMPUR: Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya dari PKR bermesyuarat di sebuah hotel di Bukit Damansara malam ini, dipercayai berkaitan rancangan pembentukan kerajaan baru.

FMT difahamkan mesyuarat malam ini juga mengenai kemungkinan menubuhkan parti baru selepas PKR hari ini memecat keahlian Azmin sebagai timbalan presiden dan Zuraida Kamaruddin sebagai naib presiden.

Mesyuarat ini juga dipercayai akan membincangkan rancangan Dr Mahathir Mohamad, yang hari ini meletakkan jawatan perdana menteri dan dilantik perdana menteri interim.

Selain Azmin dan Zuraida, antara yang hadir Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaffar; Ahli Parlimen Batu Pahat, Mohd Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman; dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.

Mereka ini antara 9 wakil rakyat yang umum keluar PKR hari ini.

Sementara itu, lebih 7km di Petaling Jaya, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan mesyuarat pimpinan di ibu pejabat parti.

Di ibu negara, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengetuai mesyuarat tertutup di sebuah restoran di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, dipercayai bagi membincangkan langkah seterusnya.