Lebih baik Sarawak berkecuali, kata pemimpin PBB

Ketua penerangan PBB Idris Buang (kiri) berkata, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg perlu membuat keputusan berhubung ‘arah yang perlu diambil’.

KUCHING: Seorang pemimpin kanan PBB berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah negeri itu harus mengekalkan sikap berkecuali dan tidak menyertai mana-mana gabungan baru politik di peringkat persekutuan.

Ketua penerangan PBB Idris Buang berkata, GPS perlu “kekal bebas dan menguasai hala tujunya sendiri”.

“Kita tidak harus menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan, tetapi kita mesti bekerja dengan mereka demi kepentingan negeri,” katanya kepada FMT.

PBB atau Parti Pesaka Bumiputera Bersatu adalah rakan kongsi dominan dalam GPS yang memerintah.

Wujud spekulasi bahawa GPS mungkin menyertai gabungan baru di peringkat persekutuan yang terdiri daripada Umno, PAS, MCA, MIC dan kumpulan serpihan PKR, yang dikenali dalam kalangan media sebagai “Pakatan Nasional”.

Idris, yang merupakan Adun Muara Tuang berkata, rakyat Sarawak tidak harus tertakluk kepada “parti yang berpangkalan di Malaya” seperti yang berlaku di bawah kerajaan barisan nasional (BN).

“Kami mahu dihormati sebagai kuasa bebas yang memperjuangkan hak Sarawak yang hilang dan tidak dipedulikan,” katanya.

Beliau berkata, Ketua Menteri Abang Johari Openg diberi mandat oleh pemimpin GPS untuk membuat keputusan mengenai “arah terbaik yang perlu diambil” dengan mengutamakan kepentingan Sarawak.

Semalam dilaporkan pemimpin GPS yang diketuai oleh Abang Johari berjumpa beberapa ahli Parlimen dari negeri itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Setelah itu mereka disertai oleh Ketua Menteri Sabah shafie Apdal.

Hasil pertemuan itu tidak diketahui kerana kedua-dua pemimpin enggan mengulas.

Dua ketua menteri tersebut kemudiannya dipercayai diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong pada sebelah petang.

Sidang media yang dijadualkan diadakan oleh Abang Johari di ibu pejabat PBB di sini pada jam 5 petang esok “ditangguhkan hingga diberitahu kemudian”.