Mas Ermieyati kalahkan Redzuan dalam saingan ketua PPBM Masjid Tanah

Mas Ermieyati Samsudin mendapat 414 undi berbanding Mohd Redzuan Yusof yang meraih 328 undi. (Gambar Bernama)

MELAKA: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dipilih sebagai ketua PPBM Bahagian Masjid Tanah sehingga 2021, menewaskan penyandang Mohd Redzuan Yusof yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Beliau memperoleh 414 undi berbanding 328 undi yang diraih Redzuan yang juga ketua PPBM Melaka dalam pemilihan bahagian itu di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Alor Gajah, dekat sini.

Saingan 3 penjuru jawatan itu menyaksikan Setiausaha Bahagian Masjid Tanah, A Lukman Ab Ghani hanya memperoleh 227 undi.

Keputusan itu diumumkan Jawatankuasa Pemilihan PPBM MElaka, Shamsir Haron awal pagi ini.

Sementara itu, Mas Ermieyati berjanji akan mempertaruh dan menggunakan semua ilmu serta pengalamannya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada warga Masjid Tanah dan akar umbi PPBM di bahagian itu.

Beliau berkata, ia bagi merealisasikan hasratnya menjadikan PPBM, khususnya Bahagian Masjid Tanah sebagai parti bertunjangkan akar umbi.

“Syukur atas kemenangan ini dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong dan mereka yang telah mengundi saya, jentera dan sukarelawan yang membantu bukan hanya saya, tetapi seluruh pasukan untuk pemilihan kali ini.

“Saya akan bekerja dengan lebih kuat bersama rakan akar umbi agar PPBM Masjid Tanah terus bergerak merangkumi segenap lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati berkata jawatankuasa bahagian itu akan segera dibentuk bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat kawasan Masjid Tanah.

“Saya juga akan melaksanakan kursus pembinaan pasukan untuk semua ahli jawatankuasa bahagian Armada dan Srikandi serta cawangan bahagian Masjid Tanah bagi mengeratkan silaturahim atau ukhwah antara kami serta sumbang saran untuk menetapkan pergerakan dan hala tuju bahagian ini bagi sesi 2019-2021,” katanya.