Najib nafi laporan portal berita berkait akuan bersumpah

PETALING JAYA: Najib Razak menafikan laporan sebuah portal berita dalam talian yang memetik bekas perdana menteri itu sebagai berkata, ahli Parlimen Umno sudah menandatangani akuan bersumpah untuk menyokong penubuhan pakatan baru politik.

The Malaya Post sebelum ini memetik Najib sebagai berkata, mereka bersetuju dengan syarat untuk penubuhan pakatan baru oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tak pernah cakap dengan ‘The Malaya Post’ pun. Kenapa tiba-tiba petik nama saya?” soalnya dalam catatan Facebooknya.

Laporan itu menyusul pertemuan pemimpin PPBM, PAS, Umno dan mereka yang bersekutu dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.

Penyokong Anwar Ibrahim pula mengadakan majlis solat hajat dan doa selamat di kediaman presiden PKR itu di Bukit Segambut malam tadi, di mana beliau mengutuk cubaan untuk mengkhianati Pakatan Harapan.