Pemimpin tertinggi DAP bertemu bincang masa depan parti

Pemimpin tertinggi DAP berkumpul di ibu pejabat DAP hari ini selepas spekulasi mengatakan ia akan disingkirkan daripada kerajaan PH. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Pemimpin tertinggi DAP berkumpul di ibu pejabat parti mereka untuk membincangkan kedudukannya susulan spekulasi ia akan disingkirkan daripada kerajaan persekutuan jika penyusunan baru politik berlaku.

Antara mereka yang hadir ialah veteran DAP, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Foong Kui Lun, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan speaker Selangor, Ng Suee Lin.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai turut menghadiri mesyuarat tertutup itu.

Individu lain yang dilihat di ibu pejabat parti itu ialah exco Pulau Pinang, Perak dan Johor.

Difahamkan, mesyuarat itu akan bermula selepas ketibaan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, yang dikatakan bersama Presiden PKR, Anwar Ibrahim menemui Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di kediamannya di Seri Kembangan sebentar tadi.

Ditanya mengenai agenda mesyuarat hari ini, Ketua Pemuda DAP, Howard Lee hanya berkata: “Semuanya baik, operasi seperti biasa.”

Semalam, Lembah Klang “sibuk” dengan cakap-cakap Mahathir akan memimpin satu langkah politik untuk menyingkirkan DAP daripada PH yang meraih kemenangan bersejarah pada pilihan raya umum Mei 2018.