Pimpinan PPBM berkumpul untuk mesyuarat khas

Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir tiba di mesyuarat khas yang akan membincangkan kedudukan dan pendirian PPBM selepas keluar Pakatan Harapan.

PETALING JAYA: Pimpinan PPBM berkumpul di ibu pejabat parti dipercayai bagi membincangkan kedudukan dan pendirian parti selepas Presiden Muhyiddin Yassin umum keluar Pakatan Harapan hari ini.

Perkara itu dimaklumkan seorang pemimpin Pemuda yang enggan dinamakan kepada FMT.

Antara pemimpin yang kelihatan Presiden Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, Ketua Penerangan Mohd Radzi Md Jidin, Ketua Pemuda Syed Saddiq Abdul Rahman, dan Setiausaha Agung Marzuki Yahya.

Seawal 8 malam pejabat PPBM mula dipenuhi para penyokong yang melaungkan “Hidup Tun” semasa menyambut ketibaan pimpinan.

Dr Mahathir Mohamad diumumkan melepaskan jawatan pengerusi parti berkuat kuasa serta-merta tidak lama selepas pemberitahuan mengenai serahan surat letak jawatan perdana menteri kepada Agong.

Sementara itu, lebih 7km dari sini di Damansara, bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menyertai mesyuarat bersama penyokong di sebuah hotel.

Di ibu negara, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengetuai mesyuarat tertutup di sebuah restoran di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, dipercayai bagi membincangkan langkah seterusnya.