Warisan Sabah sokong Dr M sebagai perdana menteri

Shafie bercakap kepada pemberita pada satu acara di Kota Kinabalu hari ini.

PETALING JAYA: Warisan Sabah menyuarakan sokongan kepada kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

“Parti Warisan Sabah menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perna menteri Malaysia,” kata parti itu dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Dalam kenyataan sama ia berkata, presiden parti Shafie Apdal dan pemimpin Sabah akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam suasana politik sekarang.

Ini susulan keputusan Mahathir sebelum ini untuk meletak jawatan sebagai perdana menteri dan juga pengerusi PPBM awal hari ini berikutan kemelut politik yang membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan parti politik lain, termasuk Barisan Nasional dan PAS.

Shafie berkata, perkembangan politik yang berlaku di peringkat persekutuan tidak akan memberi kesan ke atas negeri itu.

Beliau berkata, Warisan dan sekutunya akan terus mentadbir negeri itu walaupun berlaku perubahan di Putrajaya.

“Kami bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan… pendirian kami konsisten dan Sabah perlu bekerja rapat dengan kerajaan persekutuan walau siapa pun mereka,” katanya.

Mahathir mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong tengah hari ini susulan pertemuan beliau dengan presiden PKR Anwar Ibrahim; setiausaha agung DAP Lim Guan Eng; presiden Amanah Mohamad Sabu dan timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kediaman peribadinya di Seri Kembangan dekat sini, pagi tadi.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan menyuarakan sokongan penuh kepada Mahathir sebagai perdana menteri dan pengerusi PH.

“Kami teguh berdiri bersama Pakatan Harapan dan Tun untuk Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Ini diikuti penyataan sokongan sama oleh DAP yang berkata parti itu akan meminta Mahathir kembali mentadbir negara.

“Saya sudah temui Tun pagi ini di rumahnya dan terkejut apabila beliau memaklumkan hasratnya untuk meletak jawata,” kata setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng selepas mesyuarat tergempar DAP di ibu pejabatnya hari ini.