3 kanak-kanak antara 10 cedera letupan bom di Songkhla

Kematian 5 anggota militan di Narathiwat semalam merupakan motif serangan bom di Songkhla. (Gambar Bernama)

SONGKHLA: Sepuluh termasuk 3 kanak-kanak cedera dalam satu letupan bom di Saba Yoi, Songkhla semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.20 petang (waktu tempatan), sebutir bom buatan sendiri seberat 10kg dipasang pada motosikal yang diletakkan di tepi jalan meletup, berdekatan kuil dan sekolah.

Ketua Polis Saba Yoi Kol Kongtup Sanatip berkata ketua penolong pegawai daerah pejabat daerah Saba Yoi bersama 3 lagi anggota sukarelawan yang menaiki sebuah pikap trak kalis peluru yang melalui tempat kejadian mengalami kecederaan.

“Pikap trak tersebut tercampak ke dalam gaung.

Selain itu, 6 orang awam termasuk 3 kanak-kanak berusia antara 3 dan 5 tahun yang berada di tempat kejadian mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata semua mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital berdekatan.

Kongtup berkata polis tidak menolak kemungkinan kematian 5 anggota militan dalam satu pertempuran dengan pihak keselamatan di Cho-Airong, Narathiwat semalam merupakan motif serangan semalam.