30 cedera dalam serangan kereta di Jerman

Pegawai penyiasat melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang digunakan dalam serangan. (Gambar AP)

VOLKMARSEN: Seramai 30 orang termasuk kanak-kanak cedera pada Isnin apabila sebuah kereta meredah satu perarakan karnival di bandar kecil Volkmarsen, Jerman, di mana polis menahan pemandunya namun menolak spekulasi berhubung motif serangan.

Pendakwa raya Frankfurt berkata suspek berusia 29 tahun itu adalah warga Jerman yang berdepan tuduhan cubaan membunuh berhubung insiden di Hesse.

Siasatan diteruskan “di semua arah”, kata mereka dalam satu kenyataan.

Insiden itu berlaku ketika Jerman berwaspada susulan kejadian tembakan oleh lelaki bersenjata di bandar Hanau, juga di Hesse, Rabu lalu, yang mengorbankan 10 orang.

Saksi menggambarkan pemandu terbabit meredah penghadang jalan mengunakan kereta berwarna perak dan meluru ke arah orang ramai dengan kelajuan yang tinggi.

“Nampaknya ia tindakan yang disengajakan,” kata jurucakap polis tempatan kepada pemberita, namun berkata insiden tersebut tidak diklasifikasikan sebagai serangan sehingga penyiasat mempunyai lebih banyak maklumat.

Kira-kira 30 orang cedera, sesetengahnya serius, kata pendakwa raya Frankfurt. Kanak-kanak adalah antara mangsa yang cedera.

Pemandu juga cedera dan menerima rawatan perubatan, kata pendakwa.

Memetik sumber yang rapat dengan siasatan, Akhbar harian Spiegel berkata pemandu itu kelihatan berada di bawah pengaruh alkohol yang tinggi.

Canselor Angela Merkel berkata fikirannya bersama keluarga mangsa dan berharap mereka “cepat sembuh”, menurut jurucakapnya di Twitter.

Perdana Menteri Hesse, Volker Bouffier berkata dia “terkejut dengan tindakan yang dahsyat itu”.

Namun beliau menambah: “Keadaan di sekeliling tindakan ini masih tidak jelas dan saya menggesa anda untuk tidak membuat spekulasi mengenai kemungkinan motif.”