5 presiden parti bermesyuarat sebelum menghadap Agong hari ini

Dari kiri: Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Abdul Hadi Awang (PAS), Muhyiddin Yassin (PPBM), Shafie Apdal (Warisan) dan Abang Johari Openg (GPS).

KUALA LUMPUR: Pemimpin tertinggi 5 parti bertemu pagi ini sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, FMT difahamkan.

Ia susulan pertemuan tertutup pemimpin Umno dan PAS lewat malam tadi di ibu pejabat Umno di sini.

Difahamkan presiden Umno, PAS, PPBM, Warisan Sabah dan GPS Sarawak sedang merangka satu kompromi politik dalam kalangan mereka, memandangkan blok politik bergegas untuk mendapatkan kedudukan majoriti bagi mengisi kekosongan yang wujud selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Lima pemimpin parti itu ialah Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Abdul Hadi Awang (PAS), Muhyiddin Yassin (PPBM), Shafie Apdal (Warisan) dan Abang Johari Openg (GPS).

Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, bersetuju untuk bertemu ahli Parlimen dari parti berasingan secara berkumpulan hari ini.

Difahamkan mesyuarat di Istana Negara itu akan bermula dengan GPS, diikuti PAS, dan kemudian Umno, kira-kira jam 1 petang.

“Lima pemimpin itu dijangka mengadakan sidang akhbar bersama hari ini,” kata sumber kepada FMT.

FMT difahamkan semasa pertemuan malam tadi yang melibatkan ahli Parlimen Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin dan Nazri Aziz tidak hadir.

“Di mana pendirian keduanya, kami tidak pasti. Mereka mungkin boleh menjadi antara ahli Parlimen berkecuali,” tambah sumber itu.

Perkembangan yang mengejutkan sejak Ahad berakhir semalam selepas kejatuhan PH, gabungan 4 parti yang diketuai Dr Mahathir Mohamad yang berkuasa pada Mei 2018.

Peletakan jawatan Mahathir semalam berlaku selepas tindakan taktikal politik dalam kalangan ahli Parlimen dari PPBM, Umno, PAS dan lain-lain berhasrat membentuk gabungan baru bagi mengambil alih kuasa.

Beliau juga meletak jawatan sebagai pengerusi PPBM, yang turut mengumumkan ia bukan lagi sebahagian daripada PH.