BN, PAS mahu Parlimen dibubarkan

Pemimpin BN dan PAS mengadakan sidang media di ibu pejabat Umno selepas mereka menghadap Agong di Istana Negara petang tadi.

KUALA LUMPUR: PAS dan Barisan Nasional mahu Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan, kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa selepas ahli Parlimen pembangkang menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

“Pendirian kita adalah dalam situasi ini, mandat harus dikembalikan kepada rakyat. Kita memohon supaya Parlimen dibubarkan, biarlah rakyat yang menentukan.

“Sebarang penyelesaian di luar daripada amalan negara menyumbang kepada ketidakstabilan,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, Presiden MCA, Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup.

Annuar berkata, keputusan itu dibuat selepas BN dan PAS menolak kerajaan perpaduan yang dicadangkan Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengesahkan ahli Parlimen Umno menyuarakan sokongan terhadap Mahathir untuk mengetuai kerajaan baru ketika mereka menghadap Agong Ahad lalu.

Tetapi katanya, sokongan itu bersyarat, iaitu DAP tidak akan menganggotai mana-mana gabungan baru.

Beliau berkata, kini mereka menarik balik akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Mahathir membentuk gabungan baru tanpa DAP.

Ini kerana, katanya, PAS dan BN yang mewakili Umno, MCA, MIC serta PBRS tidak bersetuju dengan cadangan Mahathir memilih ahli Parlimen secara berseorangan untuk membentuk “kerajaan perpaduan” tanpa pembangkang.

Annuar berkata, pembentukan kerajaan baru harus dibuat berasaskan parti, bukannya individu yang dipilih Mahathir.

“Ini bermakna ia bercanggah dengan pendirian parti-parti kami.

“Kita rasakan tidak adil kepada rakyat sekiranya nak bentuk kerajaan dan lari daripada prinsip demokrasi berparlimen yang tidak menghormati suara parti, sebaliknya ambil individu yang boleh timbulkan konflik dan juga penglibatan pihak bertentu dengan dasar bercanggah, kami tidak boleh sokong.”

Katanya, keputusan menolak pembentukan kerajaan perpaduan tanpa pembangkang tidak akan menyelesaikan masalah.

Beliau bimbang keadaan hari ini akan berulang apabila gabungan baru dibentuk dan memerintah negara tidak lebih separuh penggal.

“Perdana menteri nak pimpin 4 parti pun runtuh, ini nak pimpin 12 parti lagi deras runtuh.”

Sementara itu, Takiyuddin berkata, tidak timbul soal pembentukan kerajaan pintu belakang kerana kerajaan PH sudah runtuh.

“Sebagai ahli Parlimen blok pembangkang, kami mempunyai peranan dan tanggungjawab terhadap pengundi kami untuk buat pembetulan selamatkan kerajaan.

“Berdasarkan pengiraan, kami sudah dapat lebih 130 kerusi untuk membentuk gabungan baru, tetapi apa yang diaturkan itu tidak kesampaian dengan perdana menteri meletak jawatan kemudian dilantik sebagai perdana menteri interim.

“Memikirkan keresahan berpanjangan akan berlaku, sebab itu kita putuskan supaya Parlimen dibubarkan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat.”

Beliau turut menyifatkan kerajaan PH sebegai rumah sudah terbakar.

“Maka, isu yang panas berlaku baru-baru ini, isu ‘back door’. ‘front door’. Bukan ‘door’, tapi rumah dah terbakar, tak ada pintu dah.”

Semalam, Agong melantik Mahathir sebagai perdana menteri sementara, selepas menerima peletakan jawatannya.

Petang tadi, kumpulan pertama ahli Parlimen menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara.

Setiap seorang ditemu bual kira-kira 2 hingga 3 minit untuk mendapatkan maklum balas serta pendapat mereka berhubung situasi politik negara, sebelum Agong menentukan calon perdana menteri baru.