Dr M kongsi gambar bekerja di PMO

Dr Mahathir Mohamad tekun meneliti dokumen di pejabatnya hari ini selepas dilantik sebagai perdana menteri sementara semalam. (Gambar Twitter)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri sementara, Dr Mahathir Mohamad berkongsi 3 gambar beliau bekerja di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya.

“Seperti biasa satu hari lagi di pejabat,” tulisnya di Instagram, Twitter dan Facebook.

Beliau dilihat memasuki Kompleks Perdana Putra yang menempatkan pejabatnya pada 9.29 pagi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong melantik Mahathir sebagai perdana menteri sementara, selepas menerima peletakan jawatannya pada hari sama.

Semalam, PMO mengumumkan Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri ke-7 dan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 1 tengah hari.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dalam kenyataan semalam mengumumkan Agong melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baru selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baru dilantik dan Kabinet dibentuk.

Katanya, atas nasihat perdana menteri, Sultan Abdullah turut membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik.