Ewon tinggalkan Upko kerana pemimpin gagal selesai isu pendatang haram

Ewon Ebin (duduk, tengah) bersama pemimpin Upko Bahagian Ranau meninggalkan parti itu beramai-ramai hari ini.

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Ewon Ebin hari ini mengumumkan beliau keluar parti bersama 5,000 ahli, termasuk ahli jawatankuasa (AJK) dari Bahagian Ranau.

Katanya, beliau berbuat demikian kerana kegagalan kepimpinan Upko dan kerajaan menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah serta pendirian tidak konsisten pemimpin tertinggi parti berhubung isu itu.

Peletakan jawatan ini menyusul bekas pemimpin Upko, Marcus Makin Mojigoh yang merupakan ketua Upko Bahagian Putatan, melepaskan jawatan dalam parti itu pada 27 Jan lalu.

“Selepas berbincang dengan pemimpin bahagian, cawangan dan ahli dari Upko Ranau, hari ini saya bersama AJK bahagian, sayap Pemuda, Wanita dan Komulakan, juga lebih 5,000 ahli, melepaskan semua jawatan kami serta-merta,” kata Ebin yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi pada zaman pentadbiran Barisan Nasional, di sini, hari ini.

Bekas ahli Parlimen Ranau itu dikatakan terbabit dalam perbincangan dengan pemimpin pembangkang lain dari Gabungan Sabah.

Gabungan Sabah yang dipercayai diketuai bekas ahli Parlimen Kimanis, Anifah Aman ialah langkah untuk menyatukan parti pembangkang Sabah di bawah satu kumpulan, dengan menggabungkan parti pembangkang yang tidak mempunyai kerusi dan juga menjalin perkongsian dengan parti pembangkang lain.

Perbincangan itu membabitkan SAPP, Sabah Star, Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Cinta Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Kerjasama Anak Negeri Sabah.

“Arah tuju dan perjuangan Upko jauh tersasar daripada matlamat asalnya untuk melindungi dan mempertahankan kebajikan serta kepentingan ahli, Orang Asal Sabah serta rakyat Malaysia lain dari Sabah.

“Walaupun kerajaan negeri pimpinan Warisan memutuskan untuk membatalkan pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS), masih ada perbincangan dalam kalangan pemimpin parti pemerintah yang PSS akan dilaksanakan. Ia akan diubah suai supaya boleh diterima rakyat.”

Upko Ranau mempunyai lebih 120 cawangan, manakala Ebin ialah seorang daripada ahli pengasas parti itu yang berdaftar pada 21 Mac 1994.

Ebin pernah dilantik sebagai naib presiden parti itu, ketua Bahagian Kundasang yang dinamakan semula sebagai Ranau dan juga pengerusi Parti Demokratik Sabah (PDS) yang dinamakan Upko pada 30 Okt 1999.