Goh Chok Tong ‘gambarkan’ hidupnya lebih tenang berbanding Mahathir

Bekas PM Singapura Goh Chok Tong yang sudah bersara dilihat lebih santai dengan kehidupannya. (Gambar Facebook)

Di sebalik kemelut perubahan kerajaan yang sedang rancak berlaku dalam Malaysia, sempat lagi bekas perdana menteri Singapura, Goh Chok Tong melontarkan sindiran terhadap Dr Mahathir Mohamad.

Katanya menerusi posting di Facebook, betapa seronoknya hidup kini di saat berumur 70-an dapat menikmati keindahan alam semulajadi berbanding Mahathir yang masih bergelut dalam krisis politik.

“Ia adalah satu keistimewaan bagi seorang ‘septuagenarian’ dapat menikmati alam semulajadi dan keseronokan hidup yang sederhana, tidak seperti Mahathir seorang ‘nonagenarian’ (seseorang yang berumur 90-an) dan menjadi perdana menteri tertua di dunia.”

Dalam postingnya itu turut menyatakan Singapura lebih bijak kerana melakukan langkah “politik yang betul” dan proses peralihan politik yang dirancang “berjalan lancar”.

Goh merujuk kepada perkembangan yang mengejutkan dalam Malaysia sejak Ahad dan berakhir semalam selepas kejatuhan PH, gabungan 4 parti yang diketuai Mahathir yang mula berkuasa pada Mei 2018.

Peletakan jawatan Mahathir semalam berlaku selepas tindakan taktikal politik dalam kalangan ahli Parlimen dari PPBM, Umno, PAS dan lain-lain berhasrat membentuk gabungan baru bagi mengambil alih kuasa.

Beliau juga meletak jawatan sebagai pengerusi PPBM, yang turut mengumumkan ia bukan lagi sebahagian daripada PH.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]