Hargai media… Pelbagai sumbangan makanan diberikan

Media yang berkumpul di beberapa tempat tumpuan seperti di Istana Negara, pejabat Perdana Menteri, kediaman Dr Mahathir Mohamad dan ibu pejabat PPBM sepanjang peralihan kerajaan bagi memberi liputan perkembangan terkini peralihan kerajaan terus mendapat perhatian.

Jika semalam petugas media diberi makanan oleh pihak Istana Negara, hari ini Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri keluar ke pagar di mana petugas media “berkampung” dan menyerahkan sendiri makanan kepada semua media.

Manakala petugas media yang menunggu di luar Pejabat Perdana Menteri pula di jamu dengan makanan ringan, snek dan minuman tin.

Setiausaha Ahkbar Perdana Menteri Interim Mahathir, Endie Shazlie dan Adam Mukhriz mengedarkan beberapa beg plastik yang penuh dengan pelbagai jenis minuman kepada petugas yang menunggu di bawah panas matahari terik.

Semua media mula berkumpul di hadapan pintu masuk JPM sejak 8 pagi tadi selepas Mahathir dilaporkan bekerja seperti biasa di pejabatnya.

Beliau kini menjadi perdana menteri interim selepas dilantik oleh Sultan Abdullah rentetan peletakan jawatannya secara mengejut tengahari semalam.

Manakala semua 26 pelantikan Kabinet juga telah dibatalkan sehingga seorang perdana menteri baru dilantik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]